Skip to main content

Dunia

Hakim AS arah nama Trump dibuang dari Kennedy Center

41770005654_kennedy.jpg
Cooper menegaskan bahawa undang-undang jelas menetapkan pusat seni bersejarah itu mesti kekal menggunakan nama Presiden John F. Kennedy. - Foto fail/AP

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan supaya nama Presiden Donald Trump dikeluarkan daripada Kennedy Center for the Performing Arts, sambil memutuskan bahawa penjenamaan semula pusat seni itu tidak sah di sisi undang-undang.

Hakim Mahkamah Daerah AS, Christopher Cooper, dalam keputusannya pada Jumaat menegaskan bahawa Kennedy Center tidak boleh dinamakan semula tanpa kelulusan Kongres.

Beliau memerintahkan supaya nama Trump ditanggalkan daripada bangunan, fasad, serta semua bahan rasmi dan digital dalam tempoh 14 hari.

Dalam penghakimannya, Cooper menegaskan bahawa undang-undang jelas menetapkan pusat seni bersejarah itu mesti kekal menggunakan nama Presiden John F. Kennedy.

“Kongres telah memberikan nama Kennedy Center, dan hanya Kongres boleh menukarnya,” menurut keputusan mahkamah tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa langkah lembaga pengarah menambah nama Trump pada institusi itu merupakan tindakan melampaui kuasa yang diberikan oleh undang-undang.

Selain arahan menukar nama, mahkamah turut menghalang pelan untuk menutup Kennedy Center selama dua tahun bagi kerja-kerja pengubahsuaian, yang sebelum ini diluluskan oleh lembaga.

Hakim mendapati keputusan penutupan itu dibuat tanpa pertimbangan dan prosedur yang mencukupi.

Jurucakap Kennedy Center, Roma Daravi, berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan yakin mahkamah lebih tinggi akan mempertimbangkan sumbangan Trump kepada institusi itu.

Beliau turut menegaskan bahawa pusat tersebut masih memerlukan kerja-kerja pemulihan besar, termasuk dana sebanyak AS$257 juta yang telah diluluskan.

Kontroversi ini bermula selepas Trump tahun lalu melakukan rombakan lembaga dan dilantik sebagai pengerusi, sebelum lembaga memutuskan untuk menamakan semula bangunan itu sebagai “Donald J. Trump and John F. Kennedy Memorial Center”.

Langkah itu mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada ahli politik dan komuniti seni, malah beberapa artis membatalkan persembahan di lokasi berkenaan.

Kes ini difailkan oleh Ahli Kongres Demokrat, Joyce Beatty, yang mencabar tindakan penjenamaan semula dan penutupan pusat seni tersebut.

Beliau menyatakan keputusan mahkamah membuktikan usaha pentadbiran itu tidak berlandaskan undang-undang.

“Keputusan hari ini mengesahkan bahawa Kennedy Center milik rakyat AS, bukan individu,” katanya.

Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai tamparan kepada usaha Trump untuk meletakkan namanya pada institusi kebangsaan, selain menegaskan semula peranan Kongres dalam menentukan status simbol rasmi negara.
 

Must Watch Video

Advertisement