Skip to main content

Dunia

Guterres kecam serangan terbaharu peneroka haram Israel di Tebing Barat

41769740325_AntonioGuterres.jpg
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam serangan terbaharu yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki. - Gambar fail

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam serangan terbaharu yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Kecaman itu disampaikan dalam satu kenyataan oleh jurucakap Setiausaha Agung, Stéphane Dujarric, semasa sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York pada Isnin, yang menyentuh mengenai perkembangan di Asia Barat.

Dujarric berkata: "Saya boleh memberitahu anda bahawa Setiausaha Agung mengecam serangan terbaharu yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka."

Beliau berkata  serangan yang semakin meningkat itu telah mengakibatkan kematian, kecederaan, dan kerosakan harta benda yang besar, selain menjelaskan bahawa serangan sedemikian kadangkala membawa kepada perpindahan seluruh komuniti.

Dujarric menegaskan bahawa Setiausaha Agung mengulangi pendiriannya bahawa penempatan haram Israel dan infrastruktur berkaitan "tidak mempunyai kesahihan undang-undang," serta menekankan bahawa ia merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi PBB yang berkaitan.

Beliau berkata Guterres menyeru agar ketegangan di Tebing Barat yang kini mencapai tahap membimbangkan dihentikan serta-merta, selain mendesak serangan terhadap orang awam dan harta benda mereka dihentikan, serta langkah konkrit diambil bagi memulihkan keadaan di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video