Skip to main content

Dunia

Gelombang haba ekstrem landa barat AS

81564749788_California.jpg
Suhu dijangka terus meningkat hingga penghujung minggu ini, dengan bacaan suhu tiga angka secara meluas di kawasan gurun rendah Nevada dijangka berlaku seawal Rabu. - Gambar fail

LOS ANGELES: Gelombang haba ekstrem melanda sebahagian besar wilayah barat Amerika Syarikat (AS) minggu ini, mencatatkan rekod suhu harian dan berpotensi memecahkan rekod bagi bulan Mac, lapor Xinhua yang memetik Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS).

Gelombang haba yang meliputi kawasan dari Pantai Barat hingga ke Dataran dijangka mencatat ratusan rekod suhu harian, kebanyakannya melebihi beberapa darjah daripada kebiasaan, dengan keadaan lebih menyerupai bulan Jun, menurut ramalan terkini NWS yang dikeluarkan pada Selasa.

Amaran haba ekstrem dan nasihat haba telah dikeluarkan di beberapa bahagian California, Nevada dan Arizona, dan keadaan panas itu dijangka merebak ke arah timur serta selatan.

Menurut pejabat NWS di Phoenix, amaran haba ekstrem itu merupakan yang paling awal pernah dikeluarkan bagi rantau berkenaan. Sebelum ini, kejadian paling awal direkodkan antara 26 hingga 30 April pada 2020.

Suhu dijangka terus meningkat hingga penghujung minggu ini, dengan bacaan suhu tiga angka secara meluas di kawasan gurun rendah Nevada dijangka berlaku seawal Rabu.

Ahli meteorologi memberi amaran bahawa haba awal musim yang begitu intensif boleh memberi tekanan tambahan kepada tubuh manusia. NWS memaklumkan bahawa haba kekal sebagai punca utama kematian berkaitan cuaca di AS, menyebabkan ratusan kematian setiap tahun.

Agensi itu menggesa penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan berada di dalam bangunan, mengekalkan suhu badan yang sejuk serta minum air secukupnya bagi mengelakkan penyakit berkaitan haba.

-- BERNAMA-XINHUA

 

TAG: AS, Pantai Barat, gelombang haba, haba ekstrem, rekod terawal

Must Watch Video