Skip to main content

Dunia

GCC dijangka tekan Trump hentikan perang ke atas Iran – Penganalisis

Debris lies scattered in the aftermath of an Israeli and U.S. strike on a police station, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 3, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Sebahagian kemusnahan akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran. - foto/REUTERS

KUALA LUMPUR:

Negara-Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dijangka akan memberi tekanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk segera menamatkan perang ke atas Iran.  

Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, desakan ini berikutan kesan limpah negatif terhadap negara-negara jiran Iran akibat operasi ketenteraan yang berterusan.  

"Saya lihat kali ini, ada desakan dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) supaya satu suara dapat dibawa untuk memberi tekanan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar perang dapat dihentikan.  

“Tetapi Trump juga dalam dilema memandangkan orang Yahudi di belakangnya ada fail-fail. Ada kemungkinan, jika Trump tidak terlibat dalam perang (ke atas Iran) ini mungkin ada rahsia besar yang akan terbongkar,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu. 

Dalam temu bual sama, Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Aminurrashid Yatiban menegaskan operasi ketenteraan AS dan Israel ini perlu dihentikan serta-merta kerana ia secara jelas melanggar undang-undang antarabangsa. 

“...Operasi Presiden Donald Trump ini berlaku tanpa restu daripada Kongres AS dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC). Ini merupakan satu bentuk jenayah perang yang sangat nyata yang perlu disangkal oleh setiap orang yang masih ada naluri kemanusiaan dan masih cintakan keamanan serta kedamaian,” ujarnya. 

Tambah Aminurrashid, pembunuhan pemimpin tertinggi Iran tidak membuahkan hasil yang diharapkan oleh AS apabila rakyat Iran dilihat lebih kuat semangat untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada serangan asing. 

Sejak Sabtu, AS dan Israel meneruskan serangan udaran ke atas Iran dengan menyasarkan pelbagai kawasan, dengan mendakwa operasi berkenaan adalah untuk melumpuhkan keupayaan nuklear Iran. 

Menurut Bulan Sabit Merah setakat Rabu angka kematian di Iran mencecah hampir 1,000 orang, melibatkan orang awam. 

Must Watch Video