BRUSSELS: Presiden Majlis Eropah, António Costa, menyatakan solidariti penuh Kesatuan Eropah (EU) terhadap Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran yang menyasarkan infrastruktur awam di negara berkenaan.
Menerusi hantaran di platform X pada Selasa, Costa menggesa Tehran menghentikan segera tindakan agresif berkenaan dan kembali ke meja rundingan bagi mengekalkan gencatan senjata yang rapuh di antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) serta Israel.
“Iran mesti terlibat dalam rundingan bagi memastikan gencatan senjata di Asia Barat kekal.
"EU akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa ke arah meredakan ketegangan, pembukaan semula Selat Hormuz, dan penyelesaian diplomatik yang berkekalan,” katanya.
Full solidarity with @MohamedBinZayed and the people of the United Arab Emirates following Iran’s unjustified missile and drone attacks on civilian infrastructure. These violations of sovereignty and international law are unacceptable and need to stop.
Iran must engage in…— António Costa (@eucopresident) May 5, 2026
Serangan terbaharu itu berlaku di tengah‑tengah ketegangan yang kembali memuncak di rantau berkenaan.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini mendakwa Iran telah melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran, termasuk sebuah kapal kargo Korea Selatan di perairan berhampiran UAE.
Perkembangan tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz, yang penting kepada bekalan tenaga global.
EU memberi amaran bahawa peningkatan konflik berisiko menjejaskan pasaran tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa, serta menggagalkan usaha diplomatik yang sedang dijalankan untuk menstabilkan keselamatan serantau.