Skip to main content

Dunia

Eropah perlu mainkan peranan lebih kuat dalam NATO - PM Britain

41770717807_KeirStarmer.jpg
Starmer berkata, Eropah telah ketinggalan terlalu lama dalam pertahanan dan keselamatan kerana terlalu bergantung pada rakan kongsi luar dan andaian lapuk tentang kestabilan. - Gambar fail

YEREVAN: Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer pada Isnin menggesa peranan Eropah yang lebih kuat dalam NATO, memberi amaran bahawa kebergantungan dan andaian lama mengenai keselamatan global tidak lagi berdaya maju, lapor Anadolu Ajansi.

"Perlu ada elemen Eropah yang lebih kuat dalam NATO. Saya tidak ragu-ragu tentang itu. Justeru, merentasi pertahanan dan keselamatan dan perdagangan dan tenaga, yang semuanya telah diperalatkan sebagai senjata, kita memerlukan Eropah yang lebih kuat untuk bersatu dalam isu-isu ini," katanya dalam sidang kemuncak Komuniti Politik Eropah di ibu kota Armenia, Yerevan.

Beliau menambah Eropah telah ketinggalan terlalu lama dalam pertahanan dan keselamatan kerana terlalu bergantung pada rakan kongsi luar dan andaian lapuk tentang kestabilan.

"Eropah perlu mendahului sekarang,” tambahnya. "Kita kini perlu memimpin keluar daripada (situasi) ini dan kita perlu melakukannya dengan segera."

Pemimpin Eropah pada Isnin berkumpul untuk mesyuarat kelapan sidang kemuncak Komuniti Politik Eropah bagi membincangkan kerjasama yang lebih erat mengenai demokrasi, keselamatan tenaga dan hubungan ekonomi.

Sidang kemuncak tahun ini, dengan tema Membina Masa Depan: Perpaduan dan Kestabilan di Eropah, akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Nikol Pashinyan, perdana menteri Armenia.

Sidang kemuncak EU-Armenia yang pertama dijadualkan berlangsung pada Selasa, bermatlamat mengukuhkan hubungan dua hala.

Tahun lepas, kerajaan Armenia mengumumkan hasratnya untuk meneruskan keanggotaan EU, menandakan peralihan daripada pengaruh Moscow.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video