YEREVAN: Turkiye menghantar seorang ahli politik kanan ke Armenia bagi lawatan rasmi buat pertama kali dalam tempoh hampir 20 tahun, menurut seorang pegawai Kesatuan Eropah (EU) kepada dpa pada Isnin.
Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz menyertai sidang kemuncak Komuniti Politik Eropah (EPC) yang kelapan di ibu negara Armenia, Yerevan.
“Ia amat signifikan untuk melihat wakil Turkiye menghadiri mesyuarat antarabangsa yang berlangsung di Armenia,” kata pegawai EU itu.
Ahli politik berpangkat tinggi terakhir dari Turkiye yang melawat Armenia ialah bekas Presiden, Abdullah Gul pada 2008, menurut Ankara.
Kebiasaannya, timbalan ketua negara tidak dibenarkan menghadiri sidang kemuncak EPC.
Namun dalam kes ini, pengecualian diberikan “berikutan konteks unik dan detik bersejarah dalam hubungan Armenia-Turkiye,” kata pegawai itu.
Hubungan antara Ankara dan Yerevan terjejas selama bertahun-tahun akibat konflik, dan hubungan itu masih tegang berikutan isu termasuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia di Empayar Uthmaniyyah lebih 100 tahun lalu, yang tidak diiktiraf Ankara sebagai genosid.
Turkiye menutup sempadan darat secara unilateral pada 1993 sebagai tanda solidariti dengan Azerbaijan dalam konflik di wilayah pergunungan Nagorno-Karabakh.
Bagaimanapun, kedua-dua negara jiran itu memulakan semula hubungan diplomatik pada penghujung 2021.
Laporan media Turkiye baru-baru ini menyebut sempadan darat antara kedua-duanya dijangka dibuka semula pada awal Jun, namun belum ada pengesahan daripada Ankara.
Hubungan antara republik Armenia dan Azerbaijan di wilayah Caucasus Selatan yang sekian lama bermusuhan juga dilihat semakin bertambah baik. Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dijadual menyertai persidangan di Yerevan secara maya, menurut pegawai EU itu.
-- BERNAMA-dpa