Skip to main content

Bisnes

Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana kepada 4.2 peratus pada 2026 - MBSB IB

71724050455_WestportsPortKlang.jpg
Prospek perdagangan luar kekal berhati-hati berikutan permintaan global yang lebih lemah dalam persekitaran inflasi tinggi boleh menjejaskan momentum eksport. - Gambar hiasan/Arkib

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ini berbanding 5.2 peratus pada 2025, didorong permintaan domestik yang semakin meningkat di samping permintaan luaran yang masih berdaya tahan, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Bank pelaburan itu berkata, prospek perdagangan luar kekal berhati-hati berikutan permintaan global yang lebih lemah dalam persekitaran inflasi tinggi boleh menjejaskan momentum eksport.

Bagaimanapun, kejutan harga tenaga yang berterusan serta potensi gangguan aliran perdagangan di Asia Barat boleh memberi tekanan kepada rantaian bekalan global dan meningkatkan risiko kekurangan produk berkaitan petroleum.

“Selain itu, dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat boleh terus menjejaskan permintaan luaran, khususnya jika tarif baharu dikenakan ke atas produk semikonduktor, sekali gus menimbulkan risiko penurunan kepada eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

“Di peringkat domestik, prospek pertumbuhan juga mungkin berdepan tekanan daripada sentimen pengguna dan perniagaan yang lebih lemah serta peningkatan tekanan harga, dengan syarikat dijangka memindahkan kos pengeluaran yang lebih tinggi kepada pengguna,” kata MBSB IB dalam nota penyelidikannya.

Menurut bank pelaburan itu meskipun pertumbuhan domestik kekal kukuh, ringgit terus berdepan cabaran berbanding dolar AS yang kukuh.

Pada masa sama, naratif “kadar tinggi untuk tempoh lebih lama daripada jangkaan” di AS semakin mendapat perhatian, dengan permintaan terhadap aset berdenominasi dolar meningkat.

Sebahagian pemain pasaran menjangkakan kebarangkalian kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi susulan kebimbangan inflasi di AS yang kembali memuncak berpotensi menyokong indeks dolar AS dalam jangka pendek, memandangkan tekanan inflasi dari sudut penawaran kekal menjadi kebimbangan.

Melangkah ke hadapan, MBSB IB menjangkakan mata wang tempatan akan mengukuh sepanjang 2026, memandangkan daya tahan ringgit kebelakangan ini mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia serta asas ekonomi yang lebih kukuh.

“Bagaimanapun, prospek ini (pengukuhan ringgit selanjutnya) berdepan cabaran daripada pengukuhan semula dolar AS apabila peserta pasaran mengambil kira senario ‘tiada pemotongan kadar’ bagi tahun ini, didorong kejutan harga minyak yang berterusan serta peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Pada masa ini, kami mengekalkan unjuran ringgit bagi 2026, dengan jangkaan purata lebih kukuh sekitar RM3.92 dan ditutup pada sekitar RM3.85 menjelang akhir tahun,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video