Skip to main content

Dunia

Ejen pelancongan: Konflik di Asia Barat jejaskan puluhan ribu tempahan

FILE - An Emirates Boeing 777 stands at the gate at Dubai International Airport as another prepares to land on the runway in Dubai, United Arab Emirates, Aug. 17, 2022. (AP Photo/Jon Gambrell, File)
Serangan AS-Israel terhadap Iran yang dimulakan pada akhir Februari telah menyebabkan gangguan dan pembatalan beberapa penerbangan ke negara Teluk. - Gambar fail

LONDON: Ejen pelancongan Lastminute.com memaklumkan konflik di Asia Barat telah menjejaskan kira-kira 17,000 tempahan, manakala pelancong beralih ke destinasi alternatif seperti Kepulauan Canary dan Sardinia, lapor PA Media/dpa.

Laman web itu, yang menawarkan pakej percutian ke destinasi termasuk Dubai dan Abu Dhabi, berkata pihaknya terpaksa “menyesuaikan operasi dengan cepat” berikutan perubahan pilihan pelancong susulan konflik berkenaan.

Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran yang dimulakan pada akhir Februari telah menyebabkan gangguan dan pembatalan beberapa penerbangan ke negara Teluk, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.

Penutupan ruang udara, bersama sentimen pengguna terhadap perjalanan yang terjejas, memberi kesan kepada kira-kira 17,000 tempahan, menurut Lastminute.

Syarikat itu berkata jumlah keseluruhan perjalanan yang terjejas di rantau berkenaan ketika ini bersamaan kira-kira satu setengah hari operasi harian biasa syarikat itu.

Walaupun konflik mempengaruhi lokasi dan masa orang ramai membuat tempahan perjalanan, “niat keseluruhan untuk melancong kekal tinggi,” menurut Lastminute.

Pengguna kini mencari jaminan dan fleksibiliti, manakala corak tempahan awal menunjukkan perubahan dalam pilihan destinasi pelancong.

Syarikat itu memaklumkan peningkatan permintaan ke destinasi alternatif seperti gugusan kepulauan Sepanyol iaitu Kepulauan Canary dan Kepulauan Balearic, pulau Sicily dan Sardinia di Itali, serta destinasi percutian bandar lain di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lastminute Alessandro Petazzi berkata: “Kami terus memantau rapat perkembangan situasi di Asia Barat, dengan keutamaan utama kami adalah menyokong pelanggan.

“Pada masa sama, model fleksibel Lastminute.com yang merangkumi seluruh Eropah membolehkan kami menyesuaikan operasi dengan cepat apabila corak perjalanan berubah, dengan permintaan secara semula jadi beralih antara destinasi.”

Syarikat yang berpangkalan di Belanda itu melaporkan peningkatan hasil sebanyak 15 peratus kepada €361 juta (US$416 juta) bagi tahun kewangan 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Pendapatan terlaras sebelum cukai dan kos lain meningkat sepertiga kepada €55 juta (US$64 juta).

Syarikat itu berkata pihaknya kekal “berwaspada” terhadap situasi geopolitik di Asia Barat, namun menambah bahawa ia masih mengekalkan unjuran peningkatan kira-kira 10 peratus dalam hasil dan keuntungan bagi tahun akan datang.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video