SINGAPURA: Dua penduduk Singapura yang berada di atas kapal persiaran MV Hondius telah diasingkan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk menjalani ujian hantavirus, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada Khamis.
Dua lelaki terbabit -- seorang rakyat Singapura berusia 67 tahun dan seorang pemastautin tetap berusia 65 tahun -- masing-masing tiba di Singapura pada 2 dan 6 Mei lepas.
“Kedua-duanya telah turun dari kapal itu dan turut berada dalam penerbangan sama dengan satu kes hantavirus yang disahkan dari St Helena ke Johannesburg pada 25 April 2026.
“Kes yang disahkan itu tidak melakukan perjalanan ke Singapura dan telah meninggal dunia di Afrika Selatan,” menurut CDA dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa risiko kepada orang awam di Singapura ketika ini adalah rendah.
CDA memaklumkan kedua-dua individu itu kini dipantau dan diasingkan di NCID. Sekiranya disahkan negatif, mereka akan dikuarantin selama 30 hari dari tarikh pendedahan terakhir kepada virus itu.
Ujian akan dijalankan sekali lagi sebelum mereka dibenarkan keluar daripada kuarantin. Kedua-dua lelaki itu kemudian akan menjalani pemantauan melalui telefon bagi baki tempoh pemantauan selama 45 hari yang dikira dari tarikh pendedahan terakhir mereka, menurut kenyataan itu.
“Jika mereka disahkan positif hantavirus, mereka akan terus dirawat di hospital untuk pemantauan dan rawatan susulan potensi serius jangkitan hantavirus.
“Pengesanan kontak akan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terdedah semasa tempoh berjangkit dan kontak rapat akan dikuarantin,” tambah CDA.
-- BERNAMA