Skip to main content

Dunia

Dua lagi kapal tangki India bawa gas memasak dibenar lalu Selat Hormuz

Boats in the Strait of Hormuz amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, as seen from Musandam, Oman, March 2, 2026.REUTERS/Amr Alfiky
Iran minggu lepas menyatakan "kapal bukan musuh" dibenarkan transit di Selat Hormuz selepas penyelarasan dengan pihak berkuasanya. - Gambar/ Reuters

NEW DELHI: Dua lagi kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) India, yang membawa bekalan gas memasak untuk kira-kira sehari, telah selamat melayari Selat Hormuz yang dilanda perang dan dijangka tiba di pantai India dalam beberapa hari akan datang, lapor Press Trust of India (PTI) pada Ahad.

“Dua syarikat pengangkut LPG, BW TYR dan BW ELM, yang membawa gabungan kargo LPG kira-kira 94,000 tan, telah selamat transit di rantau ini dan bergerak ke arah pantai India,” menurut satu kenyataan rasmi.

BW TYR sedang menuju ke Mumbai dengan jangkaan ketibaan pada 31 Mac manakala BW ELM dalam perjalanan ke New Mangalore dan dijangka tiba pada 1 April.

Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran dan tindakan balas menyeluruh Tehran telah menghentikan penghantaran melalui selat itu iaitu lorong perkapalan sempit yang menjadi saluran untuk eksport minyak dan gas dari negara-negara Teluk ke dunia.

Iran, bagaimanapun, minggu lepas menyatakan "kapal bukan musuh" dibenarkan transit di laluan air itu selepas penyelarasan dengan pihak berkuasanya. 

Sebelum ini, empat kapal tangki LPG India telah selamat belayar melalui selat itu.

Pine Gas dan Jag Vasant, membawa 92,612 tan LPG, sampai di pelabuhan India antara 26 Mac dan 28 Mac.

Sebelum itu, MT Shivalik dan MT Nanda Devi yang membawa kira-kira 92,712 tan LPG tiba di pelabuhan Mundra di Gujerat pada 16 Mac dan pelabuhan Kandla pada 17 Mac.

Bagi sebuah negara yang bergantung pada import dari negara Teluk untuk memenuhi 60 peratus keperluan gas memasaknya, ketibaan (kapal-kapal berkenaan) membantu meredakan kekurangan LPG terburuk yang dihadapinya dalam beberapa dekad.

India menggunakan 33.15 juta tan LPG tahun lepas termasuk kira-kira 60 peratus yang diimport. 

Sebanyak 90 peratus daripada import tersebut datang dari Asia Barat.

Susulan penutupan selat tersebut, India mendapatkan LPG daripada negara seperti AS dan Argentina.

-- BERNAMA-PTI

 

 

Must Watch Video