Skip to main content

Dunia

Dua lagi anggota pengaman Indonesia terbunuh di selatan Lubnan

UNIFIL vehicles drive on a main road in Qlayaa, amid escalating hostilities between Israel and Hezbollah, as the U.S.-Israel conflict with Iran continues, in Qlayaa, southern Lebanon, March 27, 2026. REUTERS/Karamallah Daher
Dua anggota pengaman Indonesia di bawah Misi Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh dalam satu letupan di selatan Lubnan, insiden maut kedua dalam tempoh kurang 24 jam ketika pertempuran antara Israel dan Hezbollah terus memuncak. - Gambar Reuters

BEIRUT: Dua anggota pengaman Indonesia di bawah Misi Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh dalam satu letupan di selatan Lubnan, insiden maut kedua dalam tempoh kurang 24 jam ketika pertempuran antara Israel dan Hezbollah terus memuncak.

UNIFIL dalam kenyataan mengesahkan, kenderaan unit berkenaan musnah akibat letupan yang puncanya masih belum dikenal pasti. 

Dua lagi anggota turut cedera, termasuk seorang yang dilaporkan kritikal.

Dalam insiden berasingan, tentera Lubnan memaklumkan seorang anggotanya terkorban akibat serangan Israel, manakala sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa tiga anggota Hezbullah terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut.

Lubnan semakin terheret ke dalam kancah konflik Asia Barat selepas Hezbollah yang kumpulan disokong Iran melancarkan roket ke arah Israel pada 2 Mac lalu, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin agung Iran dalam serangan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Serangan itu mencetuskan tindak balas besar-besaran Israel, termasuk siri serangan udara di seluruh Lubnan serta operasi darat di selatan negara itu.

Sejak konflik tercetus, lebih 1,200 nyawa dilaporkan terkorban.

PBB lancar siasatan

Menurut UNIFIL, siasatan segera sedang dijalankan berhubung insiden terbaru itu, yang berlaku hanya sehari selepas seorang lagi anggota pengaman Indonesia terbunuh dan tiga cedera akibat projektil yang tidak diketahui asalnya.

Ketua Operasi Keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix mengecam sekeras-kerasnya serangan yang mengorbankan anggota pengaman dan menegaskan semua pihak perlu menghentikan sebarang tindakan yang membahayakan mereka.
Kecaman antarabangsa

Perancis, anggota tetap Majlis Keselamatan PBB kini berusaha mengadakan mesyuarat tergempar badan itu bagi membincangkan perkembangan di Lubnan.

Sepanyol turut mengecam keras serangan yang meragut nyawa anggota pengaman.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun, dalam panggilan telefon kepada komander UNIFIL, mengecam serangan yang disifatkan sebagai tindakan yang menyasarkan pasukan keamanan antarabangsa. 

Pejabat Presiden turut memaklumkan bahawa Lubnan akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara bagi mencari jalan meredakan ketegangan dengan Israel.

Penyelaras Khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, pula menggesa gencatan senjata segera bagi menghentikan kemusnahan dan korban nyawa yang berterusan. - Agensi

Must Watch Video