MEXICO CITY: Dua kapal yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan dari Mexico ke Cuba ditemui beberapa hari selepas terputus hubungan di perairan Caribbean, menurut Tentera Laut Mexico.
Pihak tentera memaklumkan sebuah pesawatnya mengesan kapal berkenaan kira-kira 80 batu nautika dari Havana.
Jurucakap Konvoi Nuestra America mengesahkan kesemua kru berada dalam keadaan selamat, namun tiada penjelasan diberikan mengenai kehilangan sementara kapal Friendship dan Tiger Moth.
Kedua-dua kapal itu berlepas dari Isla Mujeres di negeri Quintana Roo pada 20 Mac dan dijadual tiba di Cuba awal minggu ini.
Seramai sembilan kru dari Poland, Perancis, Cuba dan Amerika Syarikat (AS) berada di atas kapal.
Tentera Laut Mexico berkata mereka kini berhubung melalui radio dan menghantar sebuah kapal sokongan ke lokasi berkenaan.
Konvoi itu dijangka meneruskan perjalanan ke Havana untuk menyampaikan bantuan yang sangat diperlukan.
Usaha menyalurkan bantuan ke Cuba digerakkan terutamanya oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan sejak AS mengenakan sekatan minyak pada Januari, yang mencetuskan kekurangan bahan api serius.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran Cuba berdepan kekurangan bekalan kritikal, menyebabkan beribu-ribu pembedahan dibatalkan dan gangguan bekalan elektrik berulang, sekali gus mencetuskan protes awam yang jarang berlaku di negara itu.