LOS ANGELES: Syarikat hiburan Walt Disney Co. dilaporkan merancang untuk mengurangkan sehingga 1,000 jawatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ).
Memetik sumber yang mengetahui perkara itu, laporan berkenaan menyatakan kebanyakan pengurangan tenaga kerja dijangka melibatkan jabatan pemasaran, susulan langkah penyusunan semula dalaman syarikat gergasi hiburan itu.
Setakat ini, Disney belum mengesahkan laporan tersebut dan tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen oleh agensi berita Reuters di luar waktu operasi perniagaan.
Pengurangan pekerjaan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos dan penstrukturan semula ketika Disney berdepan perubahan landskap industri hiburan global, termasuk peralihan penonton ke platform penstriman dan tekanan terhadap margin keuntungan.
WSJ turut melaporkan langkah itu merupakan antara keputusan awal di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Disney, Josh D’ Amaro, yang memulakan tugasnya baru-baru ini.
Jika dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadi pengurangan tenaga kerja terbesar Disney sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Syarikat itu sebelum ini telah memotong ribuan pekerjaan sebagai sebahagian daripada pelan penjimatan kos di bawah kepimpinan bekas CEO, Bob Iger. - Agensi