PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan seorang pemimpin politik yang digelar sebagai ‘ulama’ berhubung kenyataan kenaikan harga bahan api hanya berlaku di Malaysia dan tidak di negara lain.
Perdana Menteri yang tidak menyebut nama individu tersebut menyifatkan pandangan sedemikian sebagai tidak tepat, dangkal dan berpotensi mengelirukan rakyat.
“Itu merupakan fahaman yang menunjukkan kedangkalan ilmu yang ketara, namun diselubungi dengan tafsiran agama dan al-Quran sehingga membuatkan sebahagian orang percaya.
"Hakikatnya ia tidak membantu, malah mengelirukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pengangkutan, di sini, pada Khamis.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.
Abdul Hadi menegaskan, tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di Selat Hormuz.
Menurut Abdul Hadi, pengecualian harga minyak di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa alasan kenaikan harga di Semenanjung adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.
Dalam masa sama, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan menyifatkan Abdul Hadi sebagai hidup dalam fantasi dan sengaja cuba mengelirukan masyarakat berhubung punca sebenar kenaikan harga minyak dunia.
Amidi berkata, dakwaan Abdul Hadi kerajaan tiada sebab untuk menaikkan harga minyak hanya kerana kapal Malaysia tidak disekat di Selat Hormuz adalah satu logik yang tersasar.