Skip to main content

Dunia

Singapura alu-alukan gencatan senjata di Asia Barat, sifatkan langkah penting reda ketegangan

Sumber: FREEPIK
Singapura menyeru semua pihak supaya memenuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa dan memulihkan laluan transit yang selamat dan tanpa halangan di Selat Hormuz.

SINGAPURA: Singapura menyambut baik pengumuman gencatan senjata selama dua minggu di Asia Barat serta komitmen di bawah perjanjian itu untuk memulihkan semula pergerakan perkapalan melalui Selat Hormuz, menurut Kementerian Luar Singapura.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan Singapura berbesar hati apabila pihak-pihak terbabit mengambil langkah penting untuk meredakan ketegangan, selain memuji usaha pengantaraan, khususnya oleh Pakistan.

“Kami menggesa semua pihak supaya mematuhi gencatan senjata itu, menghentikan semua serangan terhadap negara yang tidak terlibat dalam peperangan, serta menyertai rundingan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian berkekalan terhadap konflik ini.

“Kami juga menyeru semua pihak supaya memenuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa, memulihkan laluan transit yang selamat dan tanpa halangan di Selat Hormuz selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, serta memastikan keselamatan kru dan kapal,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan operasi ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu susulan usaha pengantaraan.

Sebagai tindak balas, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Tehran akan menghentikan operasi pertahanan sekiranya serangan terhadap negara itu dihentikan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video