Skip to main content

Dunia

China sokong Iran ‘pertahan kedaulatan’, berikrar usaha untuk keamanan

Chinese Foreign Minister Wang Yi, right, attends a meeting with German Chancellor Friedrich Merz, not pictured, at the Diaoyutai State Guesthouse in Beijing, China, Wednesday Feb. 25, 2026.(Jessica Lee/Pool Photo via AP)
China bersedia memainkan peranan konstruktif, termasuk menegakkan keadilan, berusaha untuk keamanan dan menghentikan perang melalui platform Majlis Keselamatan PBB, kata Wang Yi. - Gambar AP

BEIJING: Menteri Luar China, Wang Yi, memberitahu rakan sejawatannya daru Iran dalam satu panggilan pada Isnin (2 Mac) bahawa Beijing menyokong Tehran mempertahankan diri daripada serangan Amerika Syarikat (AS)–Israel ketika perang semakin merebak di seluruh Asia Barat.

Ratusan orang telah terbunuh di Iran sejak Sabtu apabila AS dan Israel memulakan serangan terhadap puluhan sasaran di negara itu.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan gelombang peluru berpandu dan dron ke arah Israel, negara-negara Teluk serta sebuah pangkalan British di Cyprus.

Wang memberitahu Abbas Araghchi bahawa Beijing “menghargai persahabatan tradisional antara China dan Iran, menyokong Iran dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, integriti wilayah dan maruah negara, serta menyokong Iran dalam melindungi hak dan kepentingan sahnya,” menurut laporan penyiar negara CCTV.

China telah “menggesa AS dan Israel untuk segera menghentikan operasi ketenteraan, mengelakkan peningkatan ketegangan selanjutnya dan menghalang konflik daripada merebak ke seluruh rantau Asia Barat”, kata Wang menurut CCTV.

Dalam satu panggilan telefon berasingan dengan Menteri Luar Oman, juga pada Isnin, Wang menuduh Amerika Syarikat dan Israel “melanggar tujuan dan prinsip Piagam PBB” dengan “sengaja mencetuskan perang terhadap Iran.”

"China juga bersedia memainkan peranan konstruktif, termasuk menegakkan keadilan, berusaha untuk keamanan dan menghentikan perang melalui platform Majlis Keselamatan PBB,” kata Wang kepada Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, menurut CCTV.

Dan dalam satu lagi panggilan dengan Jean-Noel Barrot dari Perancis, Wang memberi amaran bahawa dunia berisiko “berundur kepada undang-undang rimba.”

“Kuasa-kuasa besar tidak boleh sewenang-wenangnya menyerang negara lain berdasarkan kelebihan ketenteraan mereka,” kata Wang, menurut CCTV.

“Issue nuklear Iran akhirnya mesti kembali ke landasan penyelesaian politik dan diplomatik,” katanya.

Setakat ini, empat anggota tentera AS telah terbunuh dalam pertempuran, manakala Presiden AS Donald Trump memberi amaran bahawa perang dengan Iran mungkin berlanjutan selama beberapa minggu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found