DAYYER: Satu kebakaran dilaporkan berlaku melibatkan beberapa kapal komersial di Pelabuhan Dayyer, selatan Iran, pada Selasa, ketika ketegangan di rantau Teluk Parsi kembali memuncak.
Agensi berita Mehr melaporkan pasukan bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran yang bermula pada dua kapal komersial sebelum api merebak ke dua lagi kapal kayu yang berlabuh berdekatan.
Salah sebuah kapal yang terjejas dilaporkan telah berjaya dikawal.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengumumkan punca kejadian atau melaporkan sebarang kematian atau kecederaan.
Insiden itu berlaku beberapa jam selepas sebuah kapal kargo yang dikendalikan syarikat perkapalan Korea Selatan, HMM Namu, mengalami letupan dan kebakaran ketika berlabuh di perairan berhampiran Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pihak berkuasa Korea Selatan memaklumkan bahawa punca kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada faktor teknikal atau impak luaran.
Ketegangan maritim di Teluk Parsi dilaporkan semakin meningkat susulan dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menuduh Iran menggunakan aset ketenteraan bagi mengganggu pelayaran kapal komersial di laluan strategik Selat Hormuz.
Pada Isnin, Iran turut dikaitkan dengan serangan dron yang mencetuskan kebakaran di zon industri minyak Fujairah, UAE, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan pelayaran dan bekalan tenaga global.
Pihak berkuasa Pelabuhan Dayyer memaklumkan siasatan menyeluruh akan dilakukan selepas operasi pemadaman selesai bagi menentukan sama ada kebakaran berpunca daripada unsur sabotaj atau kegagalan teknikal.
Operasi pelabuhan dilaporkan terjejas buat sementara waktu.