Skip to main content

Dunia

Bahrain pintas 154 peluru berpandu, 350 dron sejak serangan Iran bermula

manama bahrain_REUTERS
Angkatan Pertahanan Bahrain (BDF) turut menggesa orang ramai agar mengamalkan langkah berhati-hati yang tertinggi demi keselamatan mereka. - Gambar Reuters

MANAMA: Angkatan Pertahanan Bahrain (BDF) mengumumkan bahawa melalui kewaspadaan tinggi anggotanya, sistem pertahanan udara BDF terus berjaya menangkis gelombang serangan bertubi-tubi daripada pencerobohan pengganas Iran, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).

Sejak bermulanya konflik itu, pasukan pertahanan udara telah memintas dan memusnahkan 154 peluru berpandu balistik serta 350 dron yang menyasarkan Bahrain.

BDF menyatakan rasa bangga terhadap kesiapsiagaan tempur dan kewaspadaan luar biasa yang ditunjukkan oleh anggota BDF, selain memuji keberkesanan operasi yang berterusan dalam mempertahankan negara itu.

Prestasi pasukan Bahrain terus memberikan keyakinan bahawa ruang udara negara itu kekal selamat.

BDF turut menggesa orang ramai agar mengamalkan langkah berhati-hati yang tertinggi demi keselamatan mereka.

Rakyat dan penduduk dinasihatkan supaya menjauhi kawasan yang terjejas serta sebarang objek yang mencurigakan; mengelak daripada merakam video atau mengambil foto operasi ketenteraan atau lokasi serpihan; tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan; serta hanya merujuk saluran media rasmi dan kerajaan untuk sebarang kemas kini, amaran, dan nasihat.

BDF seterusnya menegaskan bahawa penggunaan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan kawasan awam serta harta benda persendirian merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan rambang itu merupakan ancaman langsung kepada keamanan dan keselamatan serantau.

-- BERNAMA-BNA

Must Watch Video