SYDNEY: Jutaan penduduk Australia dijangka berdepan cuaca basah sepanjang minggu ini, dengan hujan lebat diramal di hampir separuh negara tersebut.
Menurut Weatherzone, kawasan tekanan rendah yang meliputi beberapa sistem dan alur tekanan akan berinteraksi dengan udara lembap, menyebabkan hujan berpanjangan terutama di kawasan tropika.
Ramalan semasa menunjukkan barat Kimberley di Australia Barat dan pantai tropika Utara Queensland berpotensi menerima hujan paling lebat.
Lebih 200mm hujan dijangka turun di kawasan ini, manakala beberapa kawasan lain berpotensi menerima lebih 100mm.
Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku banjir, penutupan jalan dan gangguan laluan di WA, Queensland dan Northern Territory.
Sementara itu, negeri-negeri selatan dijangka mengalami cuaca panas walaupun terdapat kemungkinan hujan dan hari mendung.
Suhu di Sydney dijangka mencecah 35°C pada Rabu, manakala Melbourne dijangka mencapai 34°C hari ini dan 36°C esok.
Adelaide pula bakal mengalami minggu yang panas dengan kebanyakan hari melebihi 30°C, termasuk 37°C hari ini.