RIYADH: Arab Saudi mengecam tindakan pegawai Israel di kawasan Masjid Al-Aqsa yang disifatkan sebagai “provokatif”, susulan insiden yang berlaku ketika sambutan Hari Baitulmaqdis (Jerusalem Day), menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, Riyadh mengecam keras tindakan tersebut dan menganggapnya sebagai pelanggaran terhadap undang-undang serta norma antarabangsa.
Kenyataan itu merujuk kepada dua insiden, termasuk tindakan seorang pegawai Israel yang memasuki kompleks masjid di bawah perlindungan polis serta seorang lagi yang mengibarkan bendera Israel di kawasan halaman masjid.
#Statement | The Foreign Ministry expresses the Kingdom of Saudi Arabia’s condemnation of the repeated provocative practices carried out by officials of the Israeli occupation authorities against Al-Aqsa Mosque, most recently the storming of Al-Aqsa Mosque by an official from the… pic.twitter.com/Joth1lwSJ6
— Foreign Ministry 🇸🇦 (@KSAmofaEN) May 14, 2026
Menurut laporan, individu yang terlibat ialah Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan keselamatan sebelum mengibarkan bendera Israel berhampiran Kubah Batu (Dome of the Rock) dan melakukan tindakan yang dianggap mencetuskan provokasi.
Seorang lagi ahli parlimen Israel, Yitzhak Kroizer, turut dilaporkan berada di lokasi sama dan dirakam melakukan sujud menghadap kawasan masjid.
Insiden berkenaan berlaku ketika peningkatan kemasukan besar-besaran peneroka Israel ke dalam kompleks Al-Aqsa di bawah perlindungan pasukan keselamatan, yang sering mencetuskan ketegangan dengan penduduk Palestin.
Arab Saudi menegaskan penolakannya terhadap segala bentuk tindakan yang boleh menjejaskan status sejarah dan undang-undang tempat suci di Baitulmaqdis.
Negara itu turut menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pelanggaran tersebut serta memastikan pihak berkuasa Israel dipertanggungjawabkan.
Selain itu, Riyadh memberi amaran bahawa tindakan sedemikian berpotensi meningkatkan ketegangan serantau dan menjejaskan usaha keamanan di Asia Barat.