HAMILTON: Komando Pusat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat maritim pada Jumaat, memberi amaran kepada pemilik kapal, pengendali dan pelaut mengenai operasi ketenteraan berbahaya yang sedang dijalankan di Selat Hormuz di utara Semenanjung Musandam Oman, lapor Anadolu Ajansi.
Nasihat Pusat Maklumat Maritim Bersama, bertarikh 29 Mei, menilai tahap ancaman serantau sebagai "KRITIKAL," menyatakan percubaan Iran untuk mengawal laluan air strategik secara haram melalui apa yang disifatkannya sebagai pemasangan periuk api berbahaya dan haram yang membahayakan kapal serta anak kapal.
“Semua pelaut dinasihatkan untuk mengelakkan Skim Pemisahan Trafik Selat dan sebaliknya menyelaraskan laluan mereka dengan Kerjasama Tentera Laut AS dan Panduan untuk Perkapalan.”
Ia juga menggesa kapal-kapal untuk terus berhubung dengan pihak berkuasa tentera laut menerusi radio dan mematuhi arahan daripada tentera AS dengan segera.
Nasihat itu menyatakan amaran bahawa mana-mana kapal yang diperhatikan terlibat dalam atau menyokong aktiviti pemasangan periuk api akan menjadi sasaran tentera AS untuk mempertahankan diri.
-- BERNAMA-ANADOLU