Skip to main content

Dunia

Anak pemimpin Hamas maut akibat kecederaan serangan Israel di Gaza

Mourners attend the funeral of Azzam Al-Hayya, the son of Khalil Al-Hayya, Hamas' chief negotiator in U.S.-mediated talks over Gaza's future, after Azzam succumbed to his injuries on Thursday after being struck in an Israeli attack on Wednesday, in Gaza City May 7, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, meninggal dunia pada Khamis akibat kecederaan yang dialami dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

BANDARAYA GAZA/BAITULMUQADDIS: Anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, meninggal dunia pada Khamis akibat kecederaan yang dialami dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam perkembangan berkaitan, Israel turut mengesahkan serangan ke atas komander tertinggi Hizbullah di ibu negara Lubnan, yang merupakan pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata di kedua-dua kawasan berkenaan.

Koresponden Anadolu melaporkan bahawa Azzam al-Hayya menghembuskan nafas terakhirnya selepas mengalami kecederaan kritikal dalam serangan yang menyasarkan kawasan kejiranan Daraj, timur Bandaraya Gaza pada petang Rabu.

Pada Rabu, Khalil memaklumkan anaknya cedera parah dalam serangan itu dan mendakwa Israel cuba mencapai matlamat mereka melalui "tekanan, pembunuhan dan keganasan."

Rakaman video dari Bandaraya Gaza menunjukkan jenazah Azzam dibawa dari Hospital Al-Shifa sebelum urusan pengebumian dilakukan.

Menurut sumber Palestin, Azzam merupakan anak keempat Khalil yang terbunuh dalam serangan Israel.

Hamas dalam satu kenyataan menyifatkan pembunuhan Azzam sebagai "lanjutan daripada dasar Israel yang menyasarkan orang awam dan keluarga pemimpin Palestin."

Kenyataan itu turut menyifatkan serangan itu sebagai cubaan yang gagal untuk mempengaruhi "kehendak penentangan serta kedudukan politiknya melalui keganasan, pembunuhan dan tekanan psikologi."

"Serangan itu dilakukan dalam rangka usaha memberi tekanan kepada kepimpinan penentangan dan delegasi rundingannya selepas Israel gagal memaksakan syarat mereka atau mencapai objektif yang diisytiharkan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video