MANILA: Seramai 78 warga Filipina yang sebelum ini ditahan di Myanmar atas kesalahan berkaitan imigresen telah dibebaskan, menurut Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) pada Sabtu, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, DFA memaklumkan bahawa warga Filipina terbabit telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk bekerja di pusat penipuan dan sedang menjalani hukuman atas kesalahan masuk serta tinggal secara haram.
DFA menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Myanmar atas apa yang disifatkan sebagai "tindakan belas kasihan dan kemanusiaan" yang dilakukan sempena perayaan Thingyan, sekali gus mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Meskipun kempen pencegahan telah dipergiatkan, pegawai menyatakan bahawa masih ramai warga Filipina terus menjadi mangsa skim pengambilan pekerja yang membawa kepada eksploitasi, jenayah paksaan dan penglibatan dalam operasi penipuan.
Usaha sedang dipergiatkan untuk menyelamat dan membawa pulang mangsa pemerdagangan manusia warga Filipina yang masih terperangkap di hab penipuan atau dipaksa bekerja di pusat panggilan haram di seluruh rantau ini.
--BERNAMA-XINHUA