Skip to main content

Malaysia

Gangguan sistem bagasi KLIA: MOT arah siasatan, MAHB perlu bertanggungjawab

Sumber: X @ghafur_mustakim/ Elle Soffon
Gangguan sistem perkhidmatan bagasi di KLIA semalam menyebab kelewatan antara dua hingga empat jam melibatkan sejumlah besar penumpang tiba. - Gambar/ @ghafur_mustakim/ Elle Soffon

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memandang serius gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1 pada petang semalam, yang menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam melibatkan sejumlah besar penumpang tiba.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun sistem berkenaan berjaya dipulihkan pada hari sama, perkara itu tidak boleh dianggap selesai tanpa penilaian menyeluruh.

“Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai, dan insiden ini jelas gagal memenuhi standard tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan gangguan di lapangan terbang.

Semakan itu akan memberi tumpuan kepada masa tindak balas, komunikasi kepada penumpang serta protokol pelan kontingensi.

Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut diarahkan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan boleh dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan kegagalan perkhidmatan tersebut.

Menurut Anthony, MAHB sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap gangguan berkenaan.

Beliau menegaskan kejadian itu mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh budaya akauntabiliti dalam organisasi, selaras dengan aspirasi menjadikan lapangan terbang negara bertaraf dunia.

“Kita tidak boleh mencapai status lapangan terbang bertaraf dunia tanpa budaya tanggungjawab yang kukuh dalam setiap peringkat organisasi,” katanya.

Must Watch Video