HARI pertama WrestleMania 42 di Allegiant Stadium, Las Vegas membuka tirai dengan tumpuan utama terarah kepada pertembungan Cody Rhodes dan Randy Orton bagi kejuaraan Undisputed WWE.
Dalam suasana penuh tegang, perlawanan bermula dengan kekecohan apabila Pat McAfee cuba 'mengganggu' perlawanan juara dengan serangan awal kepada Rhodes, sebelum campur tangan daripada selebriti Jelly Roll di tepi gelanggang.
Namun, di sebalik segala gangguan, Rhodes kekal fokus dan berjaya mempertahankan kejuaraan dalam perlawanan yang sarat dengan aksi balas dan momen hampir tumbang.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak menamatkan cerita, apabila Orton bertindak menyerang Rhodes selepas loceng penamat, sekali gus menutup malam pertama dengan isyarat bahawa konflik mereka masih jauh daripada berakhir.
Di sebalik perlawanan utama, kemunculan mengejut turut mencuri perhatian apabila bekas juara Diva, Paige, kembali ke WWE dalam situasi yang tidak dijangka selepas lapan tahun.
Dalam perlawanan Women’s Tag Team Championship, Nikki Bella yang mengalami kecederaan kaki, digantikan oleh Paige, sekali gus mencetuskan sorakan besar daripada penonton.
Gandingan Paige bersama Brie Bella akhirnya membuahkan hasil apabila mereka meraih kemenangan dan kejuaraan, dalam satu detik yang menggabungkan nostalgia dan kejutan.
Dalam divisyen wanita, Liv Morgan merampas Women’s World Championship daripada Stephanie Vaquer selepas memanfaatkan 'pertolongan luar' dari rakan sekutunya Roxanne Perez dan Raquel Rodriguez, serta peluang yang terhidang di depan mata.
Sementara itu, Becky Lynch pula menewaskan AJ Lee dalam perlawanan Intercontinental wanita, sekali gus menghidupkan kembali rivalri lama yang dijangka berterusan.
Pertembungan antara Seth Rollins dan Gunther pula menyajikan aksi fizikal yang lebih keras daripada jangkaan. Dalam perlawanan yang berlangsung dengan gaya ‘brawl’, Rollins hampir mencipta kemenangan sebelum campur tangan dari Bron Breakker membuka ruang kepada Gunther untuk mengunci kemenangan menerusi chokehold yang sama yang pernah menamatkan karier John Cena.
Keputusan itu mengukuhkan reputasi Gunther sebagai figura yang mampu ‘menamatkan’ mana-mana lawan.
Perlawanan tanpa sekatan atau 'unsanctioned match' antara Drew McIntyre dan Jacob Fatu pula berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Fatu, dalam aksi yang 'brutal' walaupun tidak mencapai tahap ekstrem seperti dijangka.
Dalam masa sama, segmen hiburan melibatkan IShowSpeed bersama The Vision turut mencuri perhatian, khususnya apabila beliau melakukan ‘turn’ terhadap rakan sepasukan sendiri dalam satu momen dramatic, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada pasukan The Usos dan LA Knight (yeah!).
Secara keseluruhan, malam pertama WrestleMania 42 berjaya menghidangkan gabungan aksi, sedikit kejutan dan perkembangan cerita yang menarik dengan kehadiran lebih 50,000 penonton... menetapkan nada untuk hari kedua yang dijangka lebih besar dan penuh kejutan.