TEHRAN: Sebanyak 15 kapal telah melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam lalu dengan kebenaran pihak berkuasa Iran, menurut Agensi Berita Fars yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Agensi itu melaporkan bahawa meskipun laluan strategik berkenaan tidak ditutup sepenuhnya, aliran trafik maritim masih sangat terhad susulan konflik berterusan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Menurut angka terbaharu yang dikeluarkan Fars, pergerakan kapal di Selat Hormuz ketika ini dianggarkan 90 peratus lebih rendah berbanding tahap sebelum perang ASโIsrael ke atas Iran tercetus.
Selat Hormuz merupakan laluan perairan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, dan sebarang gangguan terhadap trafik di kawasan itu memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global.
Iran sebelum ini menyatakan bahawa laluan tersebut hanya dibuka kepada kapal tertentu berdasarkan kebenaran pihak berkuasa, khususnya kapal dari negara yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik ketenteraan.
Keadaan itu terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara pengimport tenaga, dengan penganalisis memberi amaran bahawa gangguan berpanjangan di Selat Hormuz boleh memberi tekanan berterusan ke atas harga minyak dan kestabilan ekonomi global.