SEKURANG-KURANGNYA 10 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron Iran yang menyasarkan Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi.
Dua daripada anggota berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan amat parah, manakala lapan lagi mengalami kecederaan serius - mengikut klasifikasi tentera, lapor CBS News.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika perang AS, Israel–Iran memasuki minggu keempat, dengan Komando Pusat AS mengesahkan lebih 300 anggota tentera telah cedera sejak konflik bermula.
Daripada jumlah itu, 30 masih tidak dapat kembali bertugas dan 13 anggota disahkan terkorban, termasuk seorang yang cedera dalam serangan sebelum ini di pangkalan sama serta enam yang maut dalam serangan Iran di Kuwait.
CBS News turut melaporkan pangkalan tersebut yang menempatkan satu cabang Tentera Udara AS dan dioperasikan Tentera Udara Diraja Saudi pernah diserang lebih awal minggu ini, mengakibatkan 14 individu cedera.
Butiran kewarganegaraan mangsa dalam insiden itu belum didedahkan.
Serangan Iran ke atas pangkalan AS dan lokasi sekutunya di negara Teluk menambah tekanan terhadap keupayaan pertahanan serantau, khususnya berkaitan kekurangan sistem antipeluru berpandu.
Negara‑negara Arab yang menjadi sekutu AS dilaporkan menghadapi kesukaran memilih sasaran yang perlu dipintas kerana bekalan sistem antipeluru berpandu semakin berkurangan.
Pangkalan Prince Sultan, kira‑kira 60 batu dari Riyadh, sebelum ini menjadi antara lokasi utama operasi udara AS di rantau itu dan kini kembali menjadi sasaran apabila Iran terus melancarkan serangan balas sejak perang bermula.