JOHOR BAHRU: Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur digital mampan apabila sebuah pusat data berskala besar milik ZData Group dari China dianugerahkan penarafan GreenRE Platinum iaitu tahap kelestarian tertinggi bagi bangunan hijau di negara ini.
Pengiktirafan tersebut sekali gus menjadikan fasiliti berkeupayaan kecerdasan buatan (AI) itu antara pusat data pertama di Malaysia yang mencapai standard kelestarian tertinggi, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan pusat data yang lebih cekap tenaga dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pengarah Computility Technology Sdn Bhd merangkap jurucakap ZData, Yeo Yong Hwang, berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen syarikat dalam memastikan operasi pusat data dapat dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan sumber asas masyarakat.
Menurutnya, bagi memenuhi piawaian GreenRE Platinum, pusat data tersebut direka untuk menggunakan 100 peratus air terawat semula sekali gus menghapuskan keperluan penggunaan air bekalan domestik.
“Kami sangat gembira kerana berjaya memperoleh pensijilan GreenRE Platinum. Setakat ini, ia antara pusat data di Malaysia yang berjaya mencapai penarafan tertinggi tersebut.
“Untuk mencapainya, kami menggunakan sepenuhnya air terawat semula, yang bermakna kami tidak menggunakan air bekalan perbandaran daripada SAJ dan tidak bersaing dengan penggunaan air penduduk,” katanya.
Tambah beliau, air yang digunakan bagi tujuan penyejukan pusat data itu diperoleh daripada effluen terawat yang diproses semula melalui sistem rawatan khas sebelum disalurkan semula ke fasiliti berkenaan.
Pendekatan itu memastikan bekalan air domestik negeri tidak digunakan bagi operasi industri, sekali gus mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap penggunaan sumber air oleh pusat data.
Dalam masa sama, ZData turut menyertai Projek Air Khas Johor (Johor Special Water – JSW) iaitu inisiatif kerajaan negeri yang menggalakkan penggunaan sumber air secara lestari bagi industri berimpak tinggi termasuk sektor pusat data yang berkembang pesat.
Pembangunan pusat data berkenaan merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM8 bilion yang dibangunkan di atas tapak seluas 38 ekar di Johor.
Setakat ini, kira-kira 18 ekar kawasan telah dibangunkan, melibatkan Fasa 1 dan Fasa 2 projek.
Fasa pertama telah siap sepenuhnya dan dijadualkan mula beroperasi pada Mac 2026, manakala Fasa 2 kini berada pada peringkat akhir pembinaan dengan kerja pemasangan dalaman dan kemasan sedang dijalankan.
Operasi bagi fasa kedua dijangka bermula pada suku kedua 2026, sementara baki pembangunan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir 2027.
Menurut Yeo, pusat data itu direka mengikut piawaian Tier 3 dan bersedia menyokong teknologi kecerdasan buatan serta beban kerja digital berskala besar.
Selain pengurusan air lestari, fasiliti tersebut juga menumpukan kepada penggunaan tenaga bersih bagi memastikan operasi yang lebih cekap tenaga.
ZData telah menandatangani memorandum persefahaman bagi program bekalan tenaga boleh diperbaharui jangka panjang yang dijadual bermula pada 2028 daripada ladang solar bagi menyokong operasi pusat data tersebut.
“Kami juga telah menandatangani perjanjian dengan penyedia ladang solar dan merancang untuk membeli sekitar 630,000 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun bagi menggerakkan operasi pusat data kami,” jelas Yeo.
Selain itu, pusat data berkenaan turut dilengkapi dengan teknologi penyejukan gelung tertutup, sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) berkecekapan tinggi serta seni bina pengagihan kuasa yang dioptimumkan bagi mencapai tahap Power Usage Effectiveness (PUE) yang rendah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata pembangunan pusat data berskala besar itu mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab pusat data yang semakin berkembang di Asia Tenggara.
Menurutnya, kemasukan pelaburan dalam sektor teknologi tinggi itu turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya golongan muda.
“Kemasukan pusat data di Johor bukan sahaja meningkatkan kegiatan ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak-anak muda,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa daripada 86 cadangan pembangunan pusat data di Johor, sebanyak 51 projek telah diluluskan dengan 17 daripadanya sudah beroperasi setakat ini.
Kerajaan negeri turut menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan pembangunan pusat data bagi memastikan setiap projek mematuhi garis panduan kelestarian termasuk penggunaan air dan tenaga yang lebih cekap.
Tambah Pandak, kedudukan strategik Johor yang berhampiran Singapura serta kemudahan infrastruktur yang baik menjadikan negeri itu semakin menarik minat pelabur teknologi global.
“Sasaran Johor adalah untuk menjadi antara destinasi utama pusat data di Asia Tenggara. Kedudukan strategik berhampiran Singapura serta kemudahan infrastruktur sedia ada memberi kelebihan besar kepada negeri ini,” ujarnya.