Skip to main content

Malaysia

AADK guna kit ujian khas kesan fentanyl, 'magic mushroom' mulai Jun

AADK KORBAN
Ruslin turut menjelaskan salah faham masyarakat terhadap istilah 'magic mushroom' yang sering digunakan secara umum bagi merujuk kepada dadah sintetik. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

SEPANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mula menggunakan kit ujian khas bagi mengesan penggunaan fentanyl dan pelbagai dadah sintetik lain bermula Jun ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan dan pengumpulan data berkaitan ancaman dadah baharu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kit ujian berkenaan melibatkan pengesanan fentanyl, synthetic cannabinoid, kokain dan psilocybin atau lebih dikenali sebagai 'magic mushroom'.

“Untuk makluman, kita sudah ada test kit bagi fentanyl, synthetic cannabinoid, kokain dan juga psilocybin atau 'magic mushroom'.

“Bermula bulan Jun, kita akan mula buat ujian menggunakan test kit tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK 2026 di iScore PUSPEN Sepang, hari ini.

Menurut Ruslin, kit ujian tersebut sudah diedarkan ke seluruh pejabat AADK di Malaysia dan akan digunakan dalam operasi penguatkuasaan bagi mengenal pasti jenis dadah digunakan oleh penagih.

“Dulu dikatakan AADK tiada test kit. Sekarang kita sudah ada dan telah diedarkan ke seluruh pejabat di Malaysia.

“Pada peringkat awal, kita akan gunakan alat tersebut untuk kumpul data dan tindakan perundangan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, cabaran semasa kini bukan lagi hanya melibatkan dadah tradisional seperti heroin dan ganja, sebaliknya turut membabitkan kemunculan pelbagai dadah sintetik baharu yang semakin membimbangkan.

Katanya, antara dadah yang kini dikesan digunakan dalam bentuk cecair vape ialah fentanyl, synthetic cannabinoid dan kokain.

“Apa yang jelas, kebanyakan dadah seperti fentanyl, synthetic cannabinoid dan kokain ini sebahagiannya digunakan sebagai cecair vape dan disedut melalui peranti vape,” katanya.

Ruslin turut menjelaskan salah faham masyarakat terhadap istilah 'magic mushroom' yang sering digunakan secara umum bagi merujuk kepada dadah sintetik.

Menurut beliau, hasil ujian AADK mendapati kebanyakan individu yang mendakwa mengambil 'magic mushroom' sebenarnya menggunakan synthetic cannabinoid atau ganja tiruan dalam bentuk cecair.

“Magic mushroom sebenarnya adalah sejenis kulat atau mushroom yang mengandungi bahan aktif psilocybin.

“Tetapi berdasarkan ujian kita di Malaysia, kebanyakan mereka yang mendakwa ambil magic mushroom sebenarnya mengambil synthetic cannabinoid iaitu ganja tiruan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini AADK belum mengesan kes penghuni pusat pemulihan yang disahkan mengambil fentanyl secara khusus, namun kebanyakan penagih didapati mengambil campuran pelbagai jenis dadah atau polydrug.

Katanya, campuran beberapa jenis dadah memberi kesan lebih berbahaya termasuk menyebabkan halusinasi melampau, perubahan tingkah laku agresif dan cubaan mencederakan diri sendiri.

“Ini antara cabaran baharu kepada pusat pemulihan kerana penagih dadah sintetik menunjukkan tingkah laku berbeza berbanding penagih lain.

“Kita di peringkat pusat pemulihan sudah bersedia untuk menghadapi perkara tersebut,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement