PUTRAJAYA: Etika kerja golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus mendapat pengiktirafan apabila hampir 81 peratus majikan menilai prestasi mereka setanding dengan pekerja lain, menurut dapatan Kajian Penggajian Golongan OKU di Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kajian melibatkan 1,830 majikan itu turut mendapati 71.9 peratus majikan mengiktiraf peranan pekerja kurang upaya dalam memacu produktiviti dan inovasi di tempat kerja.
Beliau berkata hampir 22 peratus majikan kini menggaji pekerja OKU, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap penglibatan golongan itu dalam pasaran buruh.
"Usaha ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan kesedaran majikan terhadap kepelbagaian tenaga kerja, malah turut disokong oleh pencapaian hampir 30 peratus penggajian dalam kalangan pekerja OKU kategori fizikal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata hampir 91 peratus majikan yang pernah menggaji OKU menyediakan peluang pekerjaan melibatkan antara satu hingga lima pekerja, manakala 47.5 peratus menyatakan hasrat untuk terus menggaji golongan berkenaan pada masa hadapan.
"Dalam kalangan majikan yang sedang menggaji OKU pula, sebanyak 83.7 peratus menempatkan antara satu hingga lima pekerja, dengan jawatan pekerja asas kekal menjadi pilihan utama pada kadar 31.4 peratus," katanya.
Beliau berkata kajian itu juga mendapati 86.5 peratus pekerja kurang upaya yang digaji memiliki Kad OKU sebagai pengesahan rasmi ketidakupayaan.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata beberapa cabaran masih dikenal pasti termasuk kos pengubahsuaian tempat kerja mesra OKU yang tinggi, iaitu 63.3 peratus, kesukaran mendapatkan calon sesuai sebanyak 78.6 peratus, selain tahap kesedaran majikan terhadap faedah dan insentif penggajian OKU yang masih perlu dipertingkatkan.
Dalam pada itu, beliau berkata majoriti majikan menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh ekosistem pekerjaan inklusif apabila 90.6 peratus menyokong pewujudan garis panduan khusus berkaitan penggajian OKU, manakala 77.3 peratus bersetuju latihan pekerjaan perlu disesuaikan mengikut jenis ketidakupayaan.
Mohd Uzir berkata kerjasama holistik antara kerajaan, majikan, organisasi OKU dan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memperkukuh penyertaan inklusif golongan itu dalam pasaran buruh serta menyokong pembangunan sosioekonomi negara.
-- BERNAMA