Skip to main content

Bisnes

Permintaan AirAsia kekal kukuh walaupun berlaku kenaikan harga tiket

KUALA LUMPUR, 5 Dis -- Pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berucap sempena Pengumuman Pembaharuan Polisi Pakaian Seragam Kru Kabin di sebuah hotel hari ini.  Polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Fernandes, situasi semasa masih jauh lebih baik berbanding ketika pandemik COVID-19 apabila operasi penerbangan terpaksa dihentikan sepenuhnya. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, terus mencatat permintaan penerbangan yang kukuh meskipun berdepan peningkatan harga bahan api yang menekan industri penerbangan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tony Fernandes berkata, situasi semasa masih jauh lebih baik berbanding ketika pandemik COVID-19 apabila operasi penerbangan terpaksa dihentikan sepenuhnya.

“Ketika pandemik, pesawat tidak dapat beroperasi, namun kini syarikat masih boleh meneruskan penerbangan dengan permintaan yang semakin meningkat.

“Permintaan sangat kukuh, malah lebih baik berbanding sebelum ini kerana lebih ramai memilih untuk kekal dan melancong di rantau ini berbanding ke Eropah dan destinasi lain,” katanya pada sidang media Capital A, di sini, hari ini.

Tambah Fernandes, perincian lanjut mengenai cabang penerbangan syarikat itu akan diumumkan pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan permintaan tinggi membolehkan syarikat menampung peningkatan kos operasi, walaupun harga tambang dijangka meningkat.

“Namun, kenaikan tambang kami jauh lebih rendah berbanding syarikat lain dan terdapat peluang lain yang akan saya kongsikan minggu depan,” katanya.

Sehubungan itu, Capital A Berhad (“Capital A”) telah melantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April 2026, bagi memperkukuh barisan kepimpinan dalam fasa pertumbuhan syarikat yang seterusnya.

Effendy sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif untuk pengguna kumpulan dan perbankan digital di Kumpulan CIMB. 

Beliau pernah terlibat dalam transformasi Touch 'n Go menjadi platform pembayaran digital terkemuka melalui usaha samanya dengan Ant Group. 

“Pelantikan Effendy bertepatan dengan aspirasi kumpulan untuk memacu pertumbuhan berasaskan inovasi digital serta sinergi ekosistem.

“Beliau juga mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta pemahaman mendalam terhadap nilai ekosistem yang telah kami bina, di samping keupayaan menyatukan pasukan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dengan hasil yang jelas,” tambah Fernandes. 

Must Watch Video