KUALA LUMPUR: Dalam persaingan global yang semakin didorong oleh teknologi dan inovasi, keupayaan syarikat tempatan untuk terus berdaya saing kini tidak lagi hanya bergantung kepada idea semata-mata, sebaliknya turut memerlukan akses pasaran, jaringan industri serta sokongan ekosistem yang lebih menyeluruh.
Seiring keperluan itu, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) terus memperkasa peranannya sebagai pemangkin ekosistem teknologi negara menerusi penganjuran Road To Growth (R2G) 2026 Central yang menghimpunkan pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan dalam satu platform berfokus bagi memperluas peluang kerjasama, akses pasaran serta pertumbuhan syarikat teknologi tempatan.
Program berkenaan turut menjadi platform pertemuan pelbagai pihak dalam ekosistem teknologi bagi memastikan inovasi tidak hanya berhenti pada peringkat pembangunan, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada penggunaan pasaran dan nilai ekonomi sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Mohammad Hazani Hassan berkata, R2G 2026 berperanan sebagai platform penglibatan menyeluruh yang menghubungkan keseluruhan ekosistem teknologi negara termasuk syarikat, pelabur dan pemain industri.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan teknologi tidak berlaku secara berasingan, sebaliknya digerakkan secara kolektif oleh semua pihak dalam ekosistem.
“Platform ini berfungsi sebagai platform penglibatan berfokus yang menghimpunkan syarikat teknologi, pihak berkepentingan industri serta pemain ekosistem sokongan.
“Di sini kita dapat lihat semua pihak hadir, kami bukan hadir sekadar pemberi dana atau sokongan, tetapi untuk membawa bersama semua yang merupakan sebahagian daripada ekosistem ini,” katanya pada program Road To Growth (R2G) 2026 Central, di sini, pada Khamis.
Dalam majlis sama, MTDC turut melancarkan MTDC SPHERE, sebuah platform digital yang direka untuk memudahkan syarikat mendapatkan akses lebih pantas kepada khidmat nasihat, pembangunan keupayaan, pembiayaan serta peluang pasaran melalui satu ekosistem bersepadu.
Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata, MTDC kini berperanan lebih luas sebagai pemudah cara dalam ekosistem inovasi negara dan bukan sekadar penyedia dana.
Tambahnya, pendekatan tersebut penting kerana pembangunan syarikat teknologi memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan kerana turut melibatkan akses kepada pelbagai sumber sokongan lain dalam ekosistem sama.
“MTDC sedang melangkah lebih jauh untuk memperkukuh cara kami berinteraksi dan menyokong syarikat dalam ekosistem ini.
“Kami berfungsi sebagai pemudah cara. Dana sememangnya ada had, namun terdapat juga pelbagai sumber pembiayaan lain.
“Justeru, kami bertindak sebagai fasilitator. Hari ini kita perkenalkan MTDC SPHERE yang bertujuan menyediakan apa kita panggil sebagai penyelesaian menyeluruh,” jelasnya.
Program R2G 2026 Central turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTDC dan Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. bagi memperluas akses pembiayaan modal kerja kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya melalui penyelesaian seperti pembiayaan invois dan pesanan belian.
Kerjasama itu dijangka mengukuhkan lagi akses syarikat kepada pembiayaan alternatif bagi menyokong aliran tunai dan pertumbuhan operasi, sekali gus melengkapkan ekosistem sokongan MTDC kepada syarikat teknologi tempatan.
Selain itu, MTDC turut memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik bagi menyokong pembangunan industri teknologi negara termasuk National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), Business Start-up Fund (BSF), Business Growth Fund (BGF), Halal Technology Development Fund (HTDF) serta MTDC–Tradeview Quantum Fund yang menggabungkan modal awam dan swasta.
Dalam pada itu, MTDC turut menguatkan kedudukan Malaysia dalam sektor berimpak tinggi menerusi inisiatif SemiconStart Malaysia yang menyokong pembangunan industri semikonduktor negara, selari dengan keutamaan Malaysia dalam rantaian nilai global sektor elektrik dan elektronik (E&E).
MTDC menegaskan bahawa pendekatan bersepadu melalui R2G 2026 Central, MTDC SPHERE dan rangkaian inisiatif sedia ada adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan syarikat teknologi tempatan bukan sahaja berupaya membangun, tetapi juga mampu menembusi pasaran lebih luas dan berkembang secara mampan.
Imbas kod QR tertera bagi mendaftar masuk ke MTDC SPHERE dan layari laman web rasmi MTDC di www.mtdc.com.my untuk maklumat lanjut berhubung pelbagai inisiatif serta program lain.