Skip to main content

Malaysia

Reman suspek koperal pukul anggota tentera dilanjutkan hingga Isnin

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Perintah lanjutan tahanan reman terhadap suspek bermula esok sehingga Isnin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan/Adobe Stock

KUANTAN: Polis memperoleh perintah lanjutan reman terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal yang disyaki memukul tujuh rakan setugas, termasuk seorang yang cedera parah, di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata perintah lanjutan tahanan reman terhadap suspek bermula esok sehingga Isnin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa suspek berusia 37 tahun ditahan pada 1 April lepas bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota tentera di kem berkenaan pada 30 Mac.

Zaiham berkata seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di kawasan kem.

Suspek sebelum ini telah ditahan reman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April bagi membantu siasatan di bawah seksyen yang sama.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman memaklumkan bahawa mangsa yang cedera parah masih dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

-- BERNAMA

Must Watch Video