Skip to main content

Bisnes

Malaysia kukuhkan ekonomi hadapi cabaran global - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Mac -- Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika ditemui media pada Program Singgah Sahur bersama pasukan petugas hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, awal pagi tadi.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tengku Zafrul berkata pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah terus memperkukuh asas ekonomi yang lebih tahan dan terpelbagai bagi mendepani ketidaktentuan global, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran.

Kenyataan itu susulan langkah Bank Dunia minggu lalu menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.4 peratus berbanding 4.1 peratus bagi 2026, meskipun persekitaran global kekal mencabar, termasuk konflik di Asia Barat.

Tengku Zafrul, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata perkembangan tersebut mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, namun Malaysia tidak boleh berasa terlalu selesa.

“Apabila harga minyak dunia meningkat, kesannya turut dirasai melalui kenaikan kos barangan domestik. Dalam masa sama, ketegangan perdagangan global boleh menjejaskan peluang pertumbuhan negara.

“Justeru, fokus kita bukan sekadar mencatat pertumbuhan, tetapi memastikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan terpelbagai,” katanya menerusi hantaran di Instagram rasmi beliau.

Beliau berkata semakan naik unjuran Bank Dunia merupakan petanda positif, dengan masa depan ekonomi negara bergantung pada pelaksanaan langkah dan dasar semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video