KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan intervensi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup susulan peningkatan harga bahan api global, termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat dan sektor terlibat berdepan kesan krisis bekalan global.
"Bagi pesawah pula, Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar mula disalurkan pada hari ini.
"Langkah ini penting kerana kos bahan api dan kos operasi pertanian boleh memberi kesan terus kepada rantaian bekalan makanan," katanya ketika sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung pada Selasa.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, cadangan penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan MTEN telah bersetuju perkara tersebut akan disusuli selanjutnya oleh KPDN.
"Berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April 2026, sebanyak lebih 398,000 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS. Jumlah ini melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan sekitar 23,000 kenderaan pengangkutan awam," katanya.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata MTEN turut mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global terhadap industri pembuatan negara.
Menurut beliau, sektor pembuatan kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara terutama dari segi sumbangan kepada eksport, peluang pekerjaan, pelaburan dan rantaian bekalan domestik.
Katanya, tinjauan FMM melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 ahli merangkumi 29 subseektor pembuatan mendapati tekanan yang dihadapi industri adalah menyeluruh.
“Antara isu utama dibangkitkan ialah bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga,” ujarnya.
Katanya, lima subsektor dikenal pasti paling terkesan ialah automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik.
Menurut beliau, tekanan berkenaan memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport dan keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan.
Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan bersasar termasuk SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion.
Langkah tersebut, katanya bagi membantu kumpulan itu mengekalkan aliran tunai dan memastikan kesinambungan operasi.