BERLIN: Syarikat penerbangan Jerman Lufthansa, akan menghentikan sepenuhnya operasi kesemua 27 pesawat di unit serantaunya, Lufthansa CityLine, bermula Sabtu, menurut pengumuman kumpulan itu pada Khamis, dengan peningkatan kos bahan api dan pertikaian buruh sebagai sebab utama, lapor Xinhua.
Harga bahan api meningkat lebih dua kali ganda sejak konflik Asia Barat memuncak, manakala pertikaian buruh yang semakin memuncak menambah tekanan, menurut Lufthansa.
Penarikan balik flit CityLine daripada perkhidmatan menandakan langkah penting dalam usaha pengurangan kapasiti, dengan pesawat itu dihentikan operasi disebabkan kos operasi yang tinggi serta keupayaan teknikal yang semakin usang.
Ketua Pegawai Kewangan Lufthansa Till Streichert, berkata langkah itu sebenarnya dirancang sebelum ini, namun dipercepatkan susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Akhbar Jerman, Handelsblatt, melaporkan yang CityLine pada asalnya dijadualkan menghentikan operasi pada 2028.
Lufthansa turut memaklumkan yang ia akan menamatkan operasi enam pesawat jarak jauh selepas musim panas, melibatkan empat pesawat Airbus A340-600 terakhir dan dua Boeing 747-400, serta mengurangkan lagi kapasiti dalam operasi jarak dekat dan sederhana bagi jenama utamanya sebanyak lima pesawat.
Bagaimanapun, kumpulan itu turut berdepan dua pertikaian buruh melibatkan juruterbang dan kru kabin, dengan mogok bermula Jumaat lalu yang memaksa pembatalan ratusan penerbangan.
Beberapa siri mogok dijangka berterusan hingga Jumaat, menjadikan gangguan selama enam hari bekerja berturut-turut.
-- BERNAMA-XINHUA