PUTRAJAYA: Kemudahan TikTok Shop Live Hub bakal diperluaskan ke lebih banyak negeri pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha ini bagi membantu usahawan tempatan memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk mereka.
Tambah beliau, pada masa ini terdapat empat Live Hub disediakan iaitu di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor yang menawarkan kemudahan itu kepada usahawan menjalankan jualan secara langsung di TikTok.
“Tahun ini, kita akan menambah lagi Live Hab di Pulau Pinang serta di Kuantan, Pahang, selain memperluas kemudahan di Sabah. Matlamat kita adalah supaya setiap negeri akhirnya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Live Hub TikTok,” katanya.
Beliau berkata kemudahan itu menyediakan pelbagai fasiliti termasuk peralatan siaran langsung, latihan serta khidmat bimbingan kepada usahawan yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026, di Putrajaya pada Khamis.
Beliau berkata penyediaan Live Hub itu bertujuan membantu usahawan yang mungkin tidak mempunyai kemudahan sesuai di rumah atau premis perniagaan untuk menjalankan jualan secara langsung.
Beliau berkata penggunaan platform dalam talian seperti TikTok Shop mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan jualan dan memperluaskan capaian pasaran.
“Kalau nak capai lebih dari 10 orang jutawan, dia kena pergi satu negara. Kalau nak kena satu negara, setiap negeri, kena ada kemudahan itu,” katanya.
Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan strategi kementerian untuk memperkukuh akses pasaran kepada usahawan tempatan sebagai sebahagian daripada misi "Hebatkan Perniagaan Malaysia".
Inisiatif Live Hub ini adalah hasil kolaborasi strategik antara TikTok Shop dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk memperkasakan usahawan tempatan melalui ekosistem e-dagang yang inovatif.