KUALA LUMPUR: Pasaran global menjadi berhati‑hati pada Ahad susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dan risiko geopolitik yang meningkat berikutan situasi di Asia Barat boleh mewujudkan sentimen mengelak risiko dan menjejaskan harga minyak, ringgit serta aliran perdagangan, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konflik terkini itu telah menyuntik ketidaktentuan baharu dalam perdagangan global terutamanya melalui impaknya ke atas pasaran tenaga.
Pada masa ini, minyak mentah WTI naik 2.78 peratus kepada US$67.02 setong manakala minyak mentah Brent meningkat 2.87 peratus kepada US$72.87 setong.
“Kebimbangan utama ialah tempoh operasi ketenteraan dan kemungkinan tindakan balas, terutamanya terhadap pangkalan tentera AS di rantau Teluk.
“Jika konflik terus meningkat, harga minyak mentah boleh mencapai US$80 setong atau malah, mencecah US$100 berdasarkan tahap ketidaktentuan yang tinggi,” katanya kepada Bernama.
Menilai impaknya terhadap Malaysia, Mohd Afzanizam berkata kebimbangan paling utama adalah tertumpu pada harga bahan api dan tekanan inflasi.
“Skim subsidi Malaysia dapat mengurangkan impak jangka pendek tetapi krisis yang berpanjangan boleh memberikan tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan kerana subsidi perlu diteruskan,” katanya.
Dari segi mata wang, katanya langkah mengelak risiko biasanya mengukuhkan dolar AS berikutan pelabur mencari aset selamat.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan dinamik pasaran semasa, logam berharga seperti emas turut dijangka meraih manfaat.
Ringgit mengakhiri minggu ini dengan mengukuh berbanding dolar AS, ditutup pada 3.8910 berbanding 3.8995 pada Jumaat lepas. Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
“Risiko terhadap pertumbuhan global adalah meningkat. Gangguan terhadap laluan perkapalan atau perubahan laluan oleh syarikat penerbangan untuk mengelak zon konflik boleh meningkatkan kos logistik, seterusnya menjejaskan perdagangan dan aktiviti ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Mengenai unjuran ekonomi, Mohd Afzanizam berkata semakan semula mungkin menjadi lebih kerap memandangkan keadaan masih tidak menentu.
“Jika Iran dapat bertahan daripada serangan itu dan menerima sokongan daripada sekutunya, skala konflik boleh meningkat dan berpanjangan. Buat masa ini, ia adalah situasi ‘tunggu dan lihat’,” katanya.
Berpandangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata harga minyak boleh meningkat lagi berikutan kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan di Timur Tengah, terutamanya di Selat Hormuz yang strategik.
“Walaupun tanpa kejutan bekalan sebenar, persepsi risiko yang meningkat sahaja boleh mendorong harga naik melalui pembelian sebagai langkah berjaga‑jaga dan aktiviti spekulatif,” katanya.
Sebagai pengeksport minyak dan gas bersih, katanya Malaysia boleh mencatatkan keuntungan fiskal jangka pendek dan sokongan untuk ringgit daripada hasil eksport yang tinggi jika harga minyak mentah meningkat.
“Bagaimanapun, turun naik yang berterusan boleh meningkatkan kos pengeluaran dan ketidaktentuan, yang boleh mengimbangi keuntungan awal. Apa yang penting bukan sahaja harga yang lebih tinggi malah, kestabilan dan kebolehjangkaan,” katanya.
Ferlito menegaskan bahawa ketegangan geopolitik turut cenderung mendorong pelabur ke arah aset selamat, mengukuhkan dolar AS.
“Dolar yang lebih kukuh boleh memberi tekanan kepada ringgit, terutamanya jika aliran modal keluar semula daripada pasaran sedang pesat membangun,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang peningkatan ketegangan yang mengganggu laluan perkapalan, meningkatkan kos insurans dan kargo atau mendorong sekatan balas yang boleh menjejaskan aliran perdagangan Malaysia secara tidak langsung.
“Bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia, ketidaktentuan yang berpanjangan dan ketegangan geopolitik adalah lebih banyak membawa kerosakan berbanding garis panduan yang jelas dan stabil,” katanya.
-- BERNAMA