KUALA LUMPUR: Kemampuan Malaysia mengekalkan kestabilan makroekonominya dianggap amat penting dalam mengharungi cabaran ekonomi global susulan realiti ketegangan Asia Barat yang berlanjutan, kata Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed.
Beliau berkata Malaysia juga terbukti kekal disiplin dalam dasar-dasar dan pada masa sama memastikan keyakinan pelabur terus wujud dalam ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi global yang ketara.
“Malaysia mempunyai disiplin dasar tenaga yang kukuh, beralih daripada subsidi secara menyeluruh kepada bersasar dan menyaksikan penjimatan RM600 juta sebulan atau menyamai RM7.2 bilion setahun yang amat besar (jumlahnya).
“Pasaran tidak lagi melihat pertumbuhan harga (semata-mata) sebaliknya menilai daya tahan ekonomi dan ini menunjukkan sejauh mana kukuhnya ekonomi ini,” katanya pada program The Nation Bernama TV bertajuk “West Asia Conflict: How Malaysia Shields Its Economy” pada Khamis.
Mengulas risiko inflasi susulan lonjakan harga minyak, Shan menyifatkan Malaysia dapat mengekang berlakunya impak pelepasan menerusi gabungan dasar monetari berhemat dan kekukuhan mata wang.
“Peningkatan mata wang misalnya dapat mengawal inflasi. Malaysia telah menggunakan dasar monetari dan mata wang secara strategik agar kestabilan harga itu terus kekal,” katanya.
Pada masa sama, inflasi di ASEAN juga kekal terkawal secara relatif.
Merujuk prospek pertumbuhan, beliau berkata Juwai IQI mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2026, didorong terutamanya oleh penggunaan domestik yang kukuh serta aktiviti pelaburan.
Selain itu, Shan menyifatkan kebimbangan mengenai kelumpuhan ekonomi berikutan situasi di Selat Hormuz sebagai keterlaluan, termasuk perkongsian laporan yang tidak boleh dipercayai.
“Malaysia telah berjaya mengekalkan kestabilan makroekonominya yang dapat dilihat sejak lima hingga 10 tahun lepas.
“Oleh itu, Malaysia akan terus dapat bertahan,” katanya.
Shan turut menyenaraikan aspek seperti komoditi, hartanah dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya dalam segmen cip sebagai sektor utama yang memberi sokongan terhadap trajektori pertumbuhan Malaysia selain hala tuju dasar yang konsisten serta momentum pelaburan.
Juwai IQI merupakan sebuah kumpulan teknologi hartanah antarabangsa.
-- BERNAMA