Skip to main content

Bisnes

InvestKL bawah MIDA bakal perkasa promosi pelaburan negara

71658935702_investkl.png
InvestKL berkata, peralihan itu menandakan fasa baharu dalam landskap pelaburan negara. - Gambar fail/InvestKL

KUALA LUMPUR: InvestKL akan menjalani peralihan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasa fungsi promosi pelaburan, memperkukuh penyelarasan antara agensi dan meningkatkan pengalaman pelabur dengan lebih menyeluruh.

Peralihan itu menyokong sasaran ekonomi negara, termasuk yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan cita-cita jangka panjang Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi serta dipacu inovasi. 

InvestKL, iaitu agensi promosi pelaburan untuk Greater Kuala Lumpur (Greater KL) berkata peralihan itu menandakan fasa baharu dalam landskap pelaburan negara. 

“Kami percaya di bawah bimbingan MIDA, misi ini akan terus mencapai skala dan sinergi yang lebih besar.

“Tumpuan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi ke Malaysia dan Greater KL kekal tidak berubah, dan kami yakin kekuatan bersepadu kedua-dua agensi akan mempercepatkan trajektori pelaburan negara,” kata InvestKL dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, agensi itu memberi jaminan bahawa segala penglibatan dengan syarikat multinasional (MNC), bakal pelanggan, dan rakan kongsi ekosistem akan diteruskan di bawah struktur penyelarasan MIDA. 

Kedua-dua agensi sedang bekerjasama rapat bagi memastikan sokongan tanpa gangguan bagi operasi semasa, rancangan pengembangan dan pelaburan masa hadapan di Greater KL.

Sejak penubuhannya, InvestKL telah menarik lebih 150 MNC, mewakili jumlah pelaburan sebanyak RM37 bilion dan mewujudkan lebih 33,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. 

Kesemua pencapaian itu menyediakan asas yang kukuh bagi ekosistem pelaburan Malaysia ketika agensi itu beralih di bawah MIDA. 

-- BERNAMA

Must Watch Video