KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan Op Coleoptera yang membongkar sindiket pengedaran dadah dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah dengan rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tiga lelaki terbabit ialah Ang Yue Suien, 47; Yam Chee Feng, 34; dan Choy Weng Hong, 36.
Beliau berkata, ketiga-tiga individu itu kini dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan rangkaian sindiket pengedaran dadah berkenaan.
"Selain itu, siasatan yang dijalankan setakat ini turut melibatkan tindakan penyitaan harta di bawah peruntukan undang-undang berkaitan hasil aktiviti jenayah.
"Sehingga kini, polis telah menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM7.1 juta yang meliputi wang tunai, barang kemas serta beberapa barangan lain," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini pada Isnin.
Menurut Hussein, setakat ini seramai 11 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berkaitan operasi berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Serbuan itu dilakukan di sekitar ibu bandar raya Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, serta operasi di Selangor, hasil risikan dijalankan.