KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia yang rendah dijangka membantu negara menghadapi kejutan bekalan tenaga semasa walaupun harga minyak global diunjurkan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama berikutan peperangan yang berterusan di Asia Barat, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata bank pusat mengunjurkan inflasi keseluruhan pada purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus pada 2026 dan keadaan semasa mencerminkan kejutan yang dipacu oleh bekalan dengan perkembangan dalam pasaran tenaga global mula memberi impak kepada pergerakan harga domestik.
“Sudah tentu, apa yang kita hadapi pada masa ini merupakan kejutan bekalan. Suatu yang baik untuk melihat bagaimana situasi ini memberi impak kepada harga pada peringkat domestik kami,” katanya kepada CNBC dalam temu bual yang diadakan di Washington.
Abdul Rasheed merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 2026 Spring Meetings yang berlangsung dari 13 April hingga 18 April di ibu pejabat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Washington.
Abdul Rasheed berkata harga minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang panjang walaupun perang berakhir dalam beberapa minggu akan datang.
“Walaupun harga minyak meningkat, kami masih mempunyai subsidi bahan api untuk kumpulan tertentu dalam kalangan penduduk di bawah BUDI95.
“Langkah itu sedikit sebanyak akan mengurangkan impak perubahan kos global terhadap harga dalam negara,” katanya.
Beliau berkata peranan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih turut membantu mengurangkan kejutan bekalan semasa.
“Pengukuhan ringgit juga akan memberi impak dalam mengurangkan perubahan harga dan kami memantau rapat perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, BNM mengeluarkan unjuran asas harga minyak mentah antara US$70 dan US$90 setong dengan senario optimis daripada US$90 hingga US$100 dan prospek pesimis pada US$110 dan ke atas.
Bagi ekonomi, BNM memaklumkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus bagi tahun ini mengambil kira senario asas dan sebahagian daripada risiko penurunan.
Pada peringkat domestik, Abdul Rasheed berkata sektor pelancongan telah mencatatkan pemulihan yang kukuh, mengatasi paras sebelum pandemik dari segi ketibaan pelancong dan perbelanjaan, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi.
“Dari segi ketibaan pelancong pada tahun lepas, ia agak baik. Malah, jumlahnya mengatasi paras sebelum pandemik, dari segi ketibaan dan perbelanjaan pelancong,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan asas yang berdaya tahan dalam ketidaktentuan global.
“Prestasi pertumbuhan negara pada suku ketiga dan keempat tahun lepas mengatasi unjuran, dengan ekonomi berkembang sebanyak 5.2 peratus.
“Kami berada dalam situasi ini dalam kedudukan yang kukuh dan ini membantu kami. Aspek yang lebih penting, kami mempunyai asas yang kukuh yang akan membantu kami menghadapi situasi ini,” katanya.
Beliau berkata pemacu utama pertumbuhan kekal utuh, dengan penggunaan swasta dan pelaburan terus menunjukkan daya tahan.
“Dari segi pemacu pertumbuhan, apa yang kita lihat pada tahun lepas dari segi penggunaan swasta dan pelaburan adalah masih kukuh.
“Walaupun terdapat pelbagai ketidaktentuan yang dibincangkan tahun lepas, eksport mencatatkan prestasi yang baik,” katanya.
Mengenai prestasi eksport, Abdul Rasheed berkata ia disokong terutamanya oleh permintaan berterusan terhadap sektor elektrik dan elektronik yang didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan.
-- BERNAMA