Skip to main content

Bisnes

[EKSKLUSIF] 7 sebab Sunway yakin gabungan IJM bernilai tinggi

Sunway Berhad, IJM, Korporat
Urus niaga melibatkan Sunway dan IJM mencetuskan perhatian pasaran terhadap potensi sinergi, penilaian dan pulangan jangka panjang.

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad bukan sekadar urus niaga korporat biasa, sebaliknya dilihat sebagai langkah strategik membentuk 'juara nasional' dengan skala dan keupayaan serantau.

Presiden Sunway Berhad, Datuk Anuar Taib, dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, menjelaskan rasional di sebalik tawaran tersebut, daripada sinergi perniagaan hingga kepada pulangan jangka panjang kepada pemegang saham.

Berikut adalah tujuh perkara utama yang perlu difahami mengenai cadangan gabungan ini:

1. Inspirasi ‘Juara Nasional’
Sunway melihat gabungan ini sebagai usaha menyatukan kekuatan tempatan, mengambil inspirasi daripada kejayaan pasukan Piala Thomas 1992.

“Hasrat kami adalah untuk membina sebuah juara nasional. Bila kita kata juara nasional, kita ambil inspirasi daripada 1992 Piala Thomas badminton… pelbagai kaum, pelbagai kekuatan untuk menjadi juara,” katanya dalam temu bual mengenai isu IJM-Sunway.

Menurut beliau, kombinasi Sunway dan IJM boleh mewujudkan sebuah kumpulan lebih kukuh untuk merebut peluang pembangunan yang lebih besar, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ASEAN yang mempunyai lebih 650 juta penduduk.

2. Skala lebih besar, bukan lebih kompleks
Menjawab persoalan sama ada gabungan berskala besar akan menjejaskan kecekapan, Anuar menegaskan Sunway selama ini beroperasi dengan struktur yang 'lean', dengan 13 divisi yang masing-masing diterajui Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai autonomi operasi sendiri.

Katanya, model itu membolehkan setiap bahagian bergerak pantas, manakala pengurusan kumpulan menumpukan kepada integrasi strategik dan budaya kecemerlangan operasi.

“Kita ada 13 divisi. Dalam 13 divisi itu, setiap Ketua Pegawai Eksekutif mempunyai autonomi mereka.

“Mereka mempunyai penghantaran mereka sendiri. Bagi saya, sebagai presiden organisasi, bersama kumpulan eksekutif, kita fokus kepada integrasi,” katanya.

3. Sinergi lebih daripada sekadar hartanah
Beliau berkata pendekatan itu telah membolehkan Sunway membina ekosistem merentas sektor, termasuk hartanah, pembinaan, penjagaan kesihatan dan hospitaliti, tanpa mewujudkan birokrasi berlapis.

“Sebagai contoh, kita ada penjagaan kesihatan di Sunway Sanctuary. Di dekat sana, kita ada hotel. Bagi orang yang sakit, mereka boleh tinggal di hotel. Kami membangun ekosistem itu. Itulah cara kita hidup,” katanya.

Mengulas struktur IJM, beliau berkata syarikat itu juga mempunyai beberapa divisi yang hampir serupa seperti hartanah, pembinaan dan infrastruktur, dengan sedikit perbezaan pada kekuatan dalam pelabuhan dan infrastruktur.

Namun, beliau berpandangan pertindihan antara kedua-dua kumpulan tidak cukup besar untuk menjadikan gabungan itu lebih kompleks.

Anuar menjelaskan kawasan operasi kedua-dua syarikat sebenarnya memberi ruang kepada pembangunan yang saling melengkapi, dengan Sunway mempunyai projek di Bandar Sunway, Iskandar Puteri, Ipoh, Johor Bahru, Seremban, Lembah Klang, Seberang Prai dan Pulau Pinang, manakala IJM juga mempunyai kehadiran di Pulau Pinang, Selangor, Pasir Gudang dan Seremban.

4. ASEAN jadi sasaran seterusnya
Dengan populasi lebih 650 juta, rantau ASEAN dilihat sebagai peluang pertumbuhan utama.

“Mereka perlukan bandar, infrastruktur dan tenaga. Ini ruang yang besar untuk kita berkembang,” kata beliau.

5. Tawaran RM3.15: Premium, bukan diskaun
Mengulas kritikan terhadap tawaran RM3.15 yang dianggap rendah, Anuar berkata penilaian tersebut perlu dilihat dalam konteks pasaran sebenar, bukan semata-mata unjuran.

“Dalam 15 bulan lepas, harga saham IJM tidak pernah melepasi RM3. Jadi RM3.15 itu bagi kami adalah satu aras yang fair,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tawaran itu mewakili kira-kira 20 peratus premium berbanding harga purata pasaran, selain memberi peluang kepada pemegang saham IJM untuk menikmati pertumbuhan masa depan Sunway.

6. Rekod prestasi jadi asas keyakinan
Anuar menekankan bahawa prestasi sejarah Sunway menjadi faktor utama dalam menilai potensi gabungan tersebut.

“Dalam tempoh 10 tahun, Sunway mencatatkan pulangan sekitar 387 peratus. Itu bukan unjuran, itu prestasi sebenar,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata prestasi IJM dalam tempoh sama menunjukkan pulangan yang lebih rendah, sekali gus menjadi pertimbangan penting kepada pelabur.

7. Fokus kepada pulangan pemegang saham
Anuar berkata tawaran itu membawa nilai jangka panjang yang lebih baik kepada pemegang saham.

Beliau berkata dari segi margin keuntungan sebelum cukai, Sunway mencatatkan prestasi lebih baik dalam kebanyakan divisi yang bertindih dengan IJM, dengan kelebihan sekitar lima hingga enam mata peratusan.

“Kalau kita tengok tahun lepas, dalam hampir semua divisi yang kita ada bisnes bersama di kawasan yang sama, Sunway ada margin lima hingga enam peratus lebih baik,” katanya.

Menurutnya, jika margin IJM diselaraskan kepada tahap prestasi Sunway, ia boleh mewujudkan lebih RM300 juta setahun dalam keuntungan sebelum cukai.

Beliau turut membandingkan pulangan keseluruhan kepada pemegang saham dalam tempoh 10 tahun.

“Kalau kita tengok 10 tahun yang lalu, Sunway punya total shareholder return ialah 387 peratus. IJM dalam tempoh yang sama pula mencatatkan minus 9 peratus,” katanya.

Anuar berkata, pelaburan RM1,000 dalam Sunway pada 2016 kini bernilai sekitar RM4,870, manakala jumlah sama dalam IJM hanya menjadi kira-kira RM910.

Cadangan gabungan itu kini terus menjadi tumpuan pasaran, bukan sahaja kerana nilainya, tetapi juga implikasinya terhadap landskap korporat tempatan.

Persoalannya kini, adakah pemegang saham melihatnya sebagai peluang membina 'juara nasional', atau kekal meragui sama ada ini benar-benar satu urus niaga yang berbaloi.

 

Must Watch Video