PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok yang dipercayai terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur provokasi perkauman sejak 24 jam lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil pemantauan awal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati penyebaran itu mempunyai ciri coordinated inauthentic behaviour (CIB), iaitu penyampaian maklumat secara terselaras dengan niat memanipulasi persepsi awam dan mengapi-apikan sentimen perkauman.
“Setakat jam 10 pagi tadi, MCMC telah mengenal pasti lebih 40 akaun di Facebook dan hampir 10 akaun di TikTok yang memuat naik video serta menggunakan naratif dan ayat yang hampir sama," katanya.
Menurut Fahmi, proses siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan untuk mencetuskan ketegangan kaum.
“Sebarang percubaan untuk mengapikan sentimen perkauman tidak akan diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Putrajaya pada Jumaat.
Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal serta terdapat gambar dengan kapsyen mendakwa menerima ugutan.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan insiden berkenaan tidak melibatkan unsur gangsterisme mahupun isu perkauman.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta penggunaan laluan lori di kawasan terbabit.