Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada asas mingguan, FBM KLCI menurun 29.60 mata kepada 1,683.07 daripada 1,712.67 pada minggu sebelumnya. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan minggu dagangan yang singkat.

Bursa Malaysia akan ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa, 2 Jun bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian Hari Wesak.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peserta pasaran dijangka terus memberi perhatian terhadap perkembangan di Asia Barat, terutamanya sebarang kemajuan dalam perbincangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

“Walaupun aktiviti belian saham pada harga rendah mungkin memberi sokongan kepada pasaran, turun naik dijangka berterusan berikutan ketidaktentuan berkaitan situasi geopolitik.

“Kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,710 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan rendah berikutan kesediaan untuk mengambil risiko yang lemah menjejaskan sentimen pelabur.

Pada asas mingguan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 29.60 mata kepada 1,683.07 daripada 1,712.67 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 126.11 mata kepada 12,580.12, Indeks FBMT 100 merosot 129.22 mata kepada 12,417.54, Indeks FBM Emas Shariah menurun 40.10 mata kepada 12,604.07 manakala Indeks FBM Mid 70 naik 186.03 mata kepada 18,484.33 dan Indeks FBM ACE meningkat 37.84 mata kepada 4,763.81.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 84.73 mata kepada 8,499.54, Indeks Tenaga menurun 13.80 mata kepada 778.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 472.81 mata kepada 19,524.29 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 2.81 mata kepada 197.82.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 14.77 bilion unit bernilai RM21.55 bilion daripada 18.19 bilion unit bernilai RM17.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 9.13 bilion unit bernilai RM20.32 bilion daripada 9.49 bilion unit bernilai RM15.69 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.38 bilion unit bernilai RM422.21 juta daripada 4.84 bilion unit bernilai RM614.26 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 2.25 bilion unit bernilai RM801.54 juta daripada 3.58 bilion unit bernilai RM1.42 bilion pada minggu sebelumnya.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement