SYARIKAT teknologi Apple Inc mengumumkan pelantikan John Ternus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 September ini, manakala Tim Cook akan beralih ke peranan sebagai Pengerusi Eksekutif.
Peralihan ini menamatkan tempoh 15 tahun kepimpinan Cook, yang dianggap antara CEO teknologi paling berjaya dalam sejarah moden.
Dalam kenyataan rasmi, Cook menyifatkan peluang menerajui Apple sebagai satu penghormatan terbesar dalam hidupnya.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada pasukan Apple yang disifatkan sebagai kreatif, inovatif dan komited dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan terbaik untuk pengguna di seluruh dunia.
Ternus, yang ketika ini mengetuai Hardware Engineering Apple, menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, sambil berikrar untuk meneruskan misi Apple ke hadapan.
Beliau telah berkhidmat di syarikat itu sejak 2001 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan produk utama seperti iPhone dan AirPods.
Menurut Apple, Cook akan kekal sebagai CEO sehingga musim panas ini bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar dengan kerjasama rapat bersama Ternus.
Sepanjang era kepimpinan Cook, saham Apple meningkat lebih 1,700 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara gergasi teknologi global.
Bagaimanapun, saham Apple susut kurang satu peratus dalam dagangan selepas waktu operasi pada Isnin susulan pengumuman tersebut.
Ini merupakan peralihan CEO pertama sejak Cook menggantikan Steve Jobs pada 2011.
Sebelum itu, beliau merupakan individu penting di belakang operasi rantaian bekalan global Apple.
Di bawah kepimpinan Cook, Apple berjaya melancarkan pelbagai kemas kini produk utama termasuk iPhone, Mac dan Apple TV.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat itu dilihat berdepan cabaran dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), termasuk kelewatan dalam pelancaran pembantu digital Siri berasaskan AI yang lebih canggih.
Pada masa sama, Cook turut dilihat berjaya mengurus cabaran geopolitik, termasuk hubungan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, khususnya dalam isu tarif perdagangan.
Apple memberi bayangan bahawa Cook akan terus memainkan peranan penting sebagai wakil tidak rasmi syarikat dalam berurusan dengan pembuat dasar global dalam kapasiti baharunya sebagai Pengerusi Eksekutif.