KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat dengan harga bahan api yang tidak menentu menyebabkan sebahagian besar syarikat penerbangan pada masa ini “tidak berdaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes.
Beliau berkata syarikat penerbangan pada masa ini “semakin terkesan dengan keputusan politik” di seluruh dunia manakala harga minyak terus berubah-ubah setiap hari sekali gus mewujudkan ketidaktentuan kepada sektor berkenaan.
“Masih belum jelas bagaimana perkara ini akan menjejaskan perniagaan kami, dengan harga minyak berubah-ubah setiap hari,” katanya menerusi hantaran di LinkedIn hari ini.
Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, Fernandes menegaskan bahawa AirAsia kekal berdaya tahan dan kukuh dari segi asas untuk mengharungi keadaan itu.
“Sehingga saya menulis catatan ini, dua peperangan sedang berlaku; peperangan yang kita sendiri tidak tahu mengapa ia bermula dan bagaimana ia akan berakhir. Tetapi apa yang pasti. Tidak kira cabaran yang berlaku -- COVID-19, SARS dan dua peperangan -- AirAsia bersedia dan kukuh dari segi asas untuk mengharungi tempoh sukar ini,” katanya.
Beliau menekankan bahawa dunia kini mengalami ketidakpastian dan ketidaktentuan.
“Saya seorang yang sederhana, dan sentiasa percaya kepada sesuatu yang mudah: semakin ramai yang berinteraksi antara satu sama lain, semakin mereka saling memahami. Apabila mereka berinteraksi secara langsung, lebih sukar untuk mereka saling membenci,” katanya.
Fernandes berkata kepercayaan itu adalah antara motivasi utama di sebalik penubuhan AirAsia, yang bukan sekadar bertujuan untuk membina perniagaan malah menghubungkan manusia.
“Misi AirAsia untuk membolehkan sesiapa sahaja mengembara, melihat dan menikmati budaya baharu serta memahami bahawa dunia ini jauh lebih luas dan saling berhubung daripada apa-apa yang digambarkan hanya dalam berita,” katanya.
Beliau berkata syarikat penerbangan, kereta api dan teknologi, bukan sekadar alat perdagangan, malah menjadi penghubung antara budaya.
“Setiap penerbangan yang berlepas bukan sekadar membawa penumpang. Ia membawa kisah, persahabatan dan kadangkala juga pemahaman.
“Dunia menjadi tempat yang lebih baik apabila manusia saling berhubung dan mengurangkan salah faham, dan seperti peranan yang kami lakukan selama 25 tahun ini, AirAsia akan terus memainkan peranannya dalam apa jua keadaan,” katanya.
Konflik Iran telah menjejaskan ketara operasi lapangan terbang di seluruh dunia apabila ribuan penerbangan ke Timur Tengah dibatalkan dan ruang udara di rantau itu ditutup selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.
Menurut laporan, kira-kira 27,000 penerbangan ke Asia Barat telah dibatalkan sejak konflik itu bermula sekali gus menjejaskan ribuan penumpang.
Susulan konflik itu, syarikat penerbangan di Asia sedang menilai semula tambang dan pelan operasi apabila kenaikan harga bahan api jet berkaitan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat mula memberi kesan kepada industri penerbangan.
Sehubungan itu, beberapa syarikat penerbangan telah memperkenalkan pelarasan surcaj bahan api.
Harga bahan api jet yang sebelum ini berada antara AS$85 hingga AS$90 setong (AS$1 = RM3.91) sebelum konflik telah melonjak melebihi AS$100 setong dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
-- BERNAMA