Skip to main content

Bisnes

PNB lantik Rizal Rickman sebagai Presiden, Ketua Eksekutif Kumpulan

PNB lantik Rizal Rickman sebagai Presiden, Ketua Eksekutif Kumpulan
PNB memaklumkan Rizal Rickman yang memegang jawatan sebagai Timbalan PGCE akan memangku jawatan baharu itu sebelum pelantikan tersebut berkuat kuasa. - Foto Rizal Rickman_X

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melantik Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai, 2026, susulan persaraan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam kenyataan pada Khamis, PNB menjelaskan buat masa ini, Rizal Rickman yang memegang jawatan sebagai Timbalan PGCE akan memangku jawatan baharu itu sebelum pelantikan tersebut berkuat kuasa.

“Rizal Rickman membawa lebih daripada lapan tahun pengalaman kepimpinan progresif di PNB, termasuk mengetuai bahagian hartanah, pasaran persendirian, pelaburan strategik dan pengurusan pengawasan pelaburan.

“Sebagai Timbalan PGCE, beliau bertanggungjawab terhadap keseluruhan strategi dan operasi kumpulan,” menurut PNB.

PNB memaklumkan sebelum menyertai PNB pada 2018, Rizal Rickman pernah memegang jawatan “Country Managing Partner” Malaysia di firma perundingan global, Boston Consulting Group.

“Pelantikan Rizal Rickman akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan ketika PNB terus melangkah kukuh bagi merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6 serta merangka pertumbuhan masa depan sejajar dengan matlamat PNB untuk memperkasakan kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi,” jelas PNB.

Abdul Rahman akan bersara daripada semua jawatan eksekutif setelah tamat tempoh kontrak dua tahun dengan PNB, dan tarikh akhir beliau bekerja beliau adalah pada 31 Mei, 2026.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video