Skip to main content

Hiburan

Taylor Swift disaman dakwaan langgar tanda dagang album 'The Life of a Showgirl'

Taylor Swift poses at the red carpet during the 67th Annual Grammy Awards in Los Angeles, California, U.S., Feb 2, 2025. REUTERS/Daniel Cole
Wade mendakwa persamaan tajuk itu mencetuskan kekeliruan pengguna, seolah‑olah jenama miliknya produk tiruan kepada karya Swift (foto). -Gambar fail/Reuters

CALIFORNIA: Bintang pop antarabangsa Taylor Swift berdepan tindakan saman di mahkamah persekutuan susulan dakwaan pelanggaran tanda dagang membabitkan tajuk album ke-12 beliau, "The Life of a Showgirl".

Saman itu difailkan oleh penghibur Las Vegas, Maren Wade, yang mendakwa penggunaan tajuk tersebut menjejaskan jenama miliknya, "Confessions of a Showgirl", yang telah didaftarkan sebagai tanda dagang sejak 2015.

Wade menyatakan penjenamaan Swift telah menenggelamkan usaha yang dibinanya selama 12 tahun melalui kolum penulisan, podcast dan persembahan pentas.

Dalam dokumen mahkamah, Wade mendakwa persamaan tajuk itu mencetuskan kekeliruan pengguna, seolah‑olah jenama miliknya produk tiruan kepada karya Swift.

USPTO sebelum ini menolak permohonan Swift untuk mendaftarkan tanda dagang "The Life of a Showgirl" atas faktor risiko kekeliruan dengan jenama Wade.

Plaintif kini memohon perintah mahkamah bagi menghalang Swift daripada terus menggunakan nama tersebut pada barangan dagangan, selain menuntut ganti rugi kewangan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Album "The Life of a Showgirl", yang dilancarkan pada Oktober 2025, merupakan kejayaan komersial besar dengan jualan mencecah 4 juta unit dalam minggu pertama.

Setakat ini, Taylor Swift mahupun label Universal Music Group (UMG) belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung saman tersebut.

Must Watch Video